ADUN harap RMK-12 luluskan RM17.9 juta projek mitigasi Taman Rimba BM

Admin
LEE Khai Loon (paling kiri) menunjukkan antara kawasan hakisan pada trak dakian bukit di Taman Eco Rimba Bukit Mertajam dekat Cherok Tok Kun pada pagi tadi.

MACHANG BUBUK – Sekurang-kurangnya RM17.9 juta diperlukan untuk kerja-kerja mitigasi di 66 kawasan cerun yang runtuh di Taman Rimba Bukit Mertajam (BM) dekat Cherok Tok Kun dalam kejadian fenomena hujan terlalu lebat pada 4 dan 5 November 2017 lepas.

LEE Khai Loon.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon berharap peruntukan tersebut turut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat pada bulan Oktober ini, sebelum diluluskan untuk negeri Pulau Pinang.

“Pejabat Ahli Parlimen (Bukit Mertajam), Pejabat ADUN, orang tempatan seperti Pengerusi MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) Cherok Tok Kun juga senantiasa menerima aduan.

“Maka, kita cuma nak (proses kelulusan) peruntukan itu dipercepatkan,” ujarnya dalam sidang media di Pejabat Hutan Daerah Seberang Perai Tengah di sini pada 4 September 2019.

Menurut Khai Loon, tanah runtuh yang terjadi di kawasan rekreasi awam tersebut bertambah teruk apabila fenomena hujan lebat pada 28 Mei 2018.

“Pada waktu itu (Mei 2018), memang ada kerja-kerja pemulihan dengan kos RM180,000 (daripada peruntukan Kerajaan Negeri),” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Selain itu, Khai Loon memberitahu bahawa dalam tiap-tiap sesi persidangan Dewan Undangan Negeri sejak tahun lepas, beliau membangkitkan isu peri penting kerja-kerja mitigasi di kawasan berkenaan agar dapat disegerakan demi menjamin keselamatan pengunjung.

Bercakap pada sidang media sama, Bernard Cheen Goon Hooi memberitahu, dalam masa terdekat Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelan mitigasi berskala kecil dengan kos RM200,000 di sini.

Ahli Majlis MPSP, Ong Jing Cheng; seorang pegawai kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan; dan dua pegawai Jabatan Perhutanan Negeri turut sertai sidang media tersebut.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD