ADUN hargai ketabahan kakitangan MBPP

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

AIR ITAM – Kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terutamanya yang berkhidmat di bawah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Penguatkuasa dan Landskap adalah disifatkan sebagai insan yang sangat tabah.

Kenyataan tersebut dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang pada Majlis Kesyukuran & Penghargaan KADUN Air Itam dan Air Putih kepada golongan berkaitan di sini 7 Januari lalu.

Beliau berkata, tiga bahagian terpenting MBPP tersebut sentiasa berdepan dengan tugasan mencabar terutamanya apabila berurusan dengan orang awam.

“Kerja macam ini bukannya mudah, kadang-kadang berdepan dengan pelbagai karenah umum ketika menjalankan tugas demi kepentingan rakyat.

“Justeru, pada kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada umum agar lebih sabar apabila berurusan kerana anggota-anggota MBPP hanya menjalankan tugasan diamanahkan.

“Sekiranya tidak berpuas hati, umum boleh membuat aduan kepada MBPP, dan ianya akan disiasat bagi tindakan lanjut,” ucapnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Dato Ir. Addnan Mohd. Razali.

Dalam majlis tersebut, kira-kira 120 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut diraikan bersama-sama ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Serentak itu, Soon Siang turut mengagihkan beras seberat lima kilogram (kg) masing-masing kepada jemputan berkenaan.

“Selagi mampu, saya akan teruskan lagi program ini di masa hadapan yang mana ia merupakan kesinambungan daripada apa yang saya laksanakan ketika berkhidmat sebagai Ahli Majlis MBPP dahulu,” jelasnya sambil menyatakan bahawa program tersebut telah dijalankan selama dua tahun berturut-turut.