ADUN, ICU bincang serah hak pemilikan Astaka Taman Sardon kepada MBPP

Admin
SERI DELIMA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abd. Rashid menegaskan pihaknya sedang mengadakan perbicangan dengan Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) untuk menyerahkan pemilikan Kompleks Astaka Taman Tun Sardon kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Katanya, sebelum ini terdapat beberapa kekangan masalah yang tidak mencapai kata putus ekoran corak pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang tidak di seiring.
“Bangunan ini dan segala hal penyelenggaraan adalah dibawah tanggungjawab ICU, tetapi hal-hal maintenance seperti penukaran lampu dan sebagainya dilaksanakan MBPP.
“Jadi jika berlaku sebarang masalah, akan ambil masa yang agak lama untuk dibaiki dan diselenggara berikutan kekangan hubungan di antara Pusat dan Kerajaan Negeri, dahulu.
“Justeru kini, pentadbiran Pusat dan Kerajaan Negeri telah sama-sama sepakat, maka kami mengambil kesempatan ini untuk mendesak pihak ICU menyerahkan bangunan ini kepada pengurusan dan pemilikan pihak MBPP,” ujarnya  sambil memberitahu perbicangan masih berlangsung tetapi beliau yakin akan mencapai satu kata putus positif tidak lama lagi.
Syerleena berkata demikian di hadapan kira-kira 50 tetamj pada Majlis Penyampaian Kanopi I ♥️ Penang kepada Penjaja Taman Tun Sardon, di sini 30 September 2018.
Hadir sama Ahli Majlis bagi MBPP, C.P. Vino Dini.
Sebanyak 27 kanopi I ♥️ Penang diserahkan kepada   peniaga berdaftar hari ini.
Mengulas lanjut, Syerleena menambah bahawa dua lagi inisiatif yang sedang diusahakan pihaknya khusus untuk kawasan Taman Tun Sardon adalah pembaikan jalan-jalan di sekitar kawasan itu dan memperbanyakkan aktiviti sihat komuniti.
“Jalan di sini perlu diperbaiki dan diselenggara semula, itu pun kita masih dalam usaha melaksanakannya, harap-harap berita baik dapat diperolehi dalam jangka masa terdekat.
“Dan keduanya, dewan komuniti Pasar Tun Sardon akan dipenuhi dengan acara-acara sihat seperti zumba dan kelas-kelas mempertahankan diri seperti karate dan sebagainya untuk penduduk setempat.
“Harapan saya, usaha-usaha positif ini akan terus dilaksanakan,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Syerleena turut menyampaikan cek sumbangan RM300 kepada lima pelajar terpilih di KADUN Sri Delima sebagai penghargaan tawaran masuk ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).