Kon Yeow respons Penang Forum isu pinjaman mudah RM1 bilion daripada Pusat bagi biayai projek TMP

 

GEORGE TOWN – Cadangan asal Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (TMP) antaranya adalah membina transit aliran ringan (LRT) dari George Town ke Bayan Lepas, disusuli dengan pintasan Lebuh Raya Penang Island Link yang akan memakan masa kira-kira tujuh tahun.

Namun, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa timbul syor baru pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu iaitu untuk melaksanakan kedua-dua projek itu secepat mungkin secara serentak, dengan permohonan pinjaman mudah RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan.

Penjelasan beliau dalam forum awam petang tadi sekaligus menjawab pertikaian Dr. Lim Mah Hui iaitu pembentang gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Penang Forum serta aktivis belia, Andrew Ng.

“Idea (mohon pinjaman mudah RM1 bilion) ini muncul selepas berlakunya perubahan pemimpin di peringkat Kerajaan Persekutuan, pada pilihan raya lalu.

“Maka, kedua-dua projek bolehlah dimulakan secara serentak.

“Sekiranya ikut rancangan asal, dimulakan dengan projek LRT, akan mengambil masa enam hingga tujuh tahun kerana perlu dilaksanakan juga kerja-kerja tebus guna (tanah laut), kerana tanpa jual tanah, kita tidak boleh memajukan projek ini.

“Ikat cadangan asal, PIL1 tidak boleh dilaksanakan sehinggalah siap LRT, yang mungkin akan makan masa enam, tujuh atau lapan tahun kemudian,” jelas Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada forum awam berhubung PTMP di Dewan Sri Pinang pada 30 September 2018.

Sebelum itu, Mah Hui mempertikai hasrat Kerajaan Negeri mahu mendapatkan RM1 bilion pinjaman mudah daripada Kerajaan Persekutuan.

Mah Hui menyatakan bahawa bahawa Kerajaan Negeri langsung tidak mengeluarkan belanja, sebaliknya SRS Consortium selaku rakan pelaksana projek (PDP) akan memastikan projek-projek pemajuan dilaksanakan melalui kerja-kerja tebus guna tanah laut di bahagian selatan pulau.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut melahirkan rasa hairan dengan perbentangan Penang Forum yang secara tiba-tiba mencadangkan Autonomous Rail Rapid (ART) dalam penganjuran berkaitan setelah sekian lama menentang PIL1 yang atas dakyah akan ‘menggalakkan lebih banyak kenderaan peribadi bertambah ke bahagian pulau’.

Dalam nada berseloroh, beliau berkata, pihaknya turut mendapat penjelasan rasmi daripada  CRCC Corporation Limited mengenai cadangan pemajuan ART.

Selorohnya lagi, cadangan serta klip YouTube mengenai ART yang digunakan oleh Penang Forum untuk menentang projek TMP, adalah bahan yang sama digunakan oleh BUCG waktu perbentangan di Pejabat Ketua Menteri baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau merakamkan penghargaan kepada lebih 300 pihak berkepentingan termasuk Penang Forum, kerana terus memberi pendapat serta kritikan kepada cadangan Kerajaan Negeri melaksanakan LRT dan PIL1.

Sebelum itu, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Nur ‘Aishah Md. Norodin mewakili Kerajaan Negeri membentangkan gambaran sebenar TMP.

Mah Hui dan Andrew Ng masih-masing turut membentangkan pendirian Penang Forum menentang beberapa perkara dalam TMP, terutama membina PIL1.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING