ADUN janji lihat masalah berbangkit, hulur bantuan kepada Persatuan Pemulihan Orang-orang Cacat Negeri Pulau Pinang

SERI DELIMA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berjanji untuk melihat segala permasalahan berbangkit dan menghulurkan bantuan kepada Persatuan Pemulihan Orang-orang Cacat Negeri Pulau Pinang.

Syerleena ketika memenuhi undangan sambutan Tahun Baru Cina oleh persatuan berkenaan baru-baru ini berkata, beliau akan melihat segala permasalahan yang dihadapi dan cuba untuk membantu sedaya upayanya.

“Ketika berkempen semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu memang sudah terfikir untuk membantu persatuan ini sekiranya saya menang.

“Jadi sekarang masanya saya perlu melihat serta mendengar masalah berbangkit tersebut dan lihat bagaimana Kerajaan Negeri mampu memberikan perhatian serta bantuan kepada persatuan ini.

“Kerana untuk mencapai status negeri atau negara maju, kita perlu pastikan terlebih dahulu bahawa tidak ada golongan yang akan ketinggalan dan tercicir… semua lapisan masyarakat perlu diberi perhatian,” ujarnya.

Hadir sama, Penaung Kehormat Persatuan Pemulihan Orang-orang Cacat Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Ismail, Naib Pengerusi Kehormat I, Datuk Tahir Jalaluddin Hussain dan Setiausaha Kehormat, Jenny Ling Leh Ing.

Pada majlis tersebut, selain penyampaian anugerah khas kepada enam kakitangan persatuan yang telah berkhidmat lebih dari 20 tahun, Syerleena turut bermurah hati memberikan angpau kepada kira-kira 50 individu Orang Kurang Upaya (OKU) di sana.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI