MAB diminta kemukakan semula kertas cadangan naik taraf PIA kepada 16 juta setahun, tampung untuk tempoh 10 tahun – Menteri Kewangan

Admin

AIR PUTIH – Malaysia Airport Berhad (MAB) diminta mengemukakan semula kertas cadangan bagi menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Bayan Lepas kepada kapasiti 16 juta penumpang setahun, ujar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya, cadangan asal untuk menaik taraf PIA dari sembilan hingga 11 juta penumpang mungkin tidak mampu menampung keperluan tersebut apabila ianya siap kelak.

“Cadangan awal mereka (MAB) telah saya tolak kerana mereka nak besarkan kepada sembilan hingga 11 juta, tak boleh… kerana sekarang pun kita (Pulau Pinang) sudah hampir mencecah lapan juta penumpang setahun, bila siap nanti, sudah penuh semula.

“Lebih baik kita naik taraf sekali sahaja kepada 15 atau 16 juta penumpang sekaligus.

“Sebab itu saya minta MAB buat semula kertas cadangan kepada 16 juta penumpang dan ia dibuat secara tender terbuka. Jumlah ini (16 juta penumpang) dijangka mampu menampung sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid dan Ahli Parlimen Air Itam, Wong Hon Wai.

Dalam perkembangan berlainan, Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan memberitahu bahawa, pertumbuhan ekonomi negara kini berada pada tahap yang baik dan yakin keadaan tersebut (ekonomi) akan pulih dalam jangka masa tiga tahun.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI