ADUN Jawi puji inisiatif mahasiswa USM, SAM anjur program tanam anak pokok bakau

JAWI – Lebih 50 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) menyertai program menanam 100 anak pokok bakau di sini, anjuran  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Jabatan Perhutanan Negeri.

Ahli Dewan Undangan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye ketika berucap pada majlis itu memberitahu, program komuniti sebegini seharusnya diperbanyakkan memandangkan hutan paya bakau di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) kian terancam.

“Hutan paya bakau amat penting dalam mengimbangi ekosistem bumi, serta turut memberi pelbagai faedah kepada manusia sama ada daripada segi ekonomi mahupun (impak) sosial.

“Namun, hutan paya bakau kini diancam kemusnahan, sama ada berpunca oleh fenomena alam semulajadi mahupun aktiviti manusia.

“Pelbagai pihak tampil untuk melindungi dan memulihara sumber alam semulajadi khususnya di Daerah Seberang Perai Selatan adalah sangat dipuji,” jelasnya.

Menurut beliau, ‘Bakau Minyak’, ‘Kurap’, ‘Tumu Merah’ dan ‘Tumu Putih’ adalah antara jenis anak pokok bakau yang ditanam dalam program komuniti pada kali ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan atas penyertaan Unit Nelayan Changkat dalam program penanaman bakau. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS