Exco saran tingkatkan penguatkuasaan terhadap pihak mencemarkan pantai dalam usaha pelihara penyu

SUNGAI PINANG – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menyarankan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) supaya meningkatkan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melakukan pencemaran pantai.

Menurut beliau, langkah tersebut perlu bagi mengatasi masalah pencemaran pantai yang dilihat telah mengancam hidupan laut terutamanya spesies penyu di perairan negeri ini.

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim bersama-sama Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang meninjuan sudut pameran.

“Pantai kita (Pulau Pinang) tercemar kerana tidak ada kesedaran dalam diri masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.

“Oleh itu, selain pendidikan yang juga dilihat penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang amalan kitar semula, tindakan lain yang boleh diambil adalah melalui penguatkuasaan.

“Jadi, saranan saya sebagai Exco Kerajaan Negeri adalah supaya Datuk Bandar (MBPP) dapat meningkatkan lagi penguatkuasaan terhadap mereka yang mencemarkan pantai-pantai kita (Pulau Pinang),” tegasnya semasa merasmikan Program Recycle @Shell: Save Our Turtle dekat stesen minyak Shell, di sini pagi ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar; Pengurus Shell Wilayah Utara, Lucy Loo; Ahli-Ahli Majlis bagi MBPP serta para pengusaha stesen minyak Shell Malaysia.

Difahamkan, Program Recycle @Shell: Save Our Turtle merupakan salah satu kesinambungan daripada Kempen ‘Katakan Tak Nak Straw’ dan ‘Tak Nak Plastik Sekali Guna’ oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Murid dari beberapa sekolah rendah di sekitar Pulau Pinang menyaksikan beberapa ekor penyu yang dipamerkan pada program berkenaan.

Program ini adalah anjuran MBPP dengan kerjasama Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. (Shell) Wilayah Utara dan Jabatan Perikanan Malaysia.

Melalui program tersebut juga, pihak Shell turut menawarkan diskaun kepada semua pelanggan yang menyertai kempen kitar semula dengan menyumbang botol air minuman plastik terpakai.

Mengulas lanjut, Jagdeep menjelaskan bahawa program tersebut merupakan satu lagi usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bersih, sihat, hijau dan selamat.

“Pada peringkat awal pelaksanaan kempen ini, kita (Kerajaan Negeri) menghadapi banyak rintangan bukan hanya di Pulau Pinang malah satu negara melihat program tersebut tidak akan berjaya.

“Tetapi hari ini kita lihat kempen ini bukan sahaja berjaya malah telah menjadi ikutan di seluruh negara,” ujarnya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Dalam pada itu, Noraisyah dalam ucapannya sebelum itu menekankan bahawa Kempen ‘Katakan Tak Nak Straw’ adalah penting dalam usaha pemeliharaan penyu yang merupakan spesies terancam.

“Straw kecil tetapi impaknya besar terhadap alam sekitar termasuk penyu sekiranya di buang ke laut.

“Oleh itu, saya menyeru agar kita semua dapat mendidik diri kita bermula daripada keluarga dengan membersihkan pantai yang merupakan kawasan utama untuk penyu bertelur,” serunya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD