ADUN Jawi puji inisiatif MPSP, Petron tanam 200 pokok bakau di Sungai Kerian

Admin

JAWI – RM20,000 kos projek penanaman pokok bakau spesies Berembang (Sonneratia Caseolaris) di Sungai Kerian ditaja sepenuhnya oleh Tetuan Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad di sini pada pagi tadi.

Ketika merasmikan projek hijau itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berharap lebih ramai pihak berkepentingan tampil untuk saling bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), dalam melaksanakan program penanaman pokok terutama di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Ini merupakan salah satu lagi projek berkonsepkan 7Ps atau People, Public, Private, Philanthropy, Philosopher, Planet, Partnership’, yang mana sebanyak 200 pokok Berembang ditanam di sebahagian rezab Sungai Kerian yang berkeluasan 2,100 meter persegi.

“Jadi, saya berharap lebih ramai lagi pihak berkepentingan tampil, seperti Petron, untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dan MPSP, bagi menggandakan keadaan hijau di daerah SPS ini,” ujarnya ketika merasmikan Program Penanaman Pokok Berembang Di Sungai Kerian dekat Teluk Ipil, Kampung Che Isa dekat sini pada 13 Oktober 2018.

Berucap pada majlis sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa program penanaman pokok bakau di sini adalah sejajar dengan program hijau yang sedang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan iaitu mahu menanam 10,000 batang pokok sebelum tahun 2022, ke arah menjadikan Seberang Perai sebagai bandar rendah karbon dan bandar pintar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kira-kira 80 peserta daripada kakitangan MPSP, Petron serta badan bukan kerajaan (NGO) Penang Inshore Fishermen Welfare Association (PIFWA) kerana menjayakan program penanaman pokok bakau spesies Berembang di sini.

ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim dan Ahli Majlis bagi MPSP, Heng Yen Shiuan turut sertai program itu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MPSP