Laporan awal insiden runtuhan rasuk Jalan Tun Sardon diklasifikasikan sebagai kemalangan di tapak kerja, jangka siap Mac 2020 – Kon Yeow

BATU UBAN – Laporan awal insiden runtuhan rasuk di Jalan Tun Sardon pada 11 Oktober 2018 diklasifikasikan sebagai kemalangan di tapak kerja.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas mengenai insiden itu sejurus meluncurkan Skim Pinjaman Harapan (SPH) di sini sebentar tadi.

Kon Yeow dalam responsnya berkata, berdasarkan laporan awal diterima pihaknya, difahamkan ketika kejadian berlaku, sebuah kren sedang mengangkat kepingan plat keluli dan angin bertiup kencang hingga menyebabkan keluli tersebut terkena sebatang rasuk.

“Rasuk itu tumbang ke sebelah dan mengenai rasuk-rasuk lain yang mana menyebabkan ia retak di tengah-tengah dan seterusnya runtuh.

“Tapak ini sememangnya mencabar kerana terletak di kawasan lereng bukit dan lembah yang dalam, ia memerlukan dua kren besar bagi menaikkan bim-bim untuk diletakkan ke tempatnya,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Difahamkan, projek sepanjang laluan Jalan Bukit Kukus hingga ke Paya Terubong berkenaan adalah di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

MBPP dalam satu kenyataan di laman Facebooknya kelmarin dipetik menyatakan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan susulan akan diambil dengan sewajarnya.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa tiada kemalangan jiwa serta kecederaan berlaku ekoran kejadian itu.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan, kebiasaannya, untuk sebarang projek yang dijalankan, sememangnya (pemaju) mengharapkan ‘incident free’ dan tarikh siap mampu dicapai.

Tetapi sebenarnya, tambah beliau, keadaan di tapak menyebabkan tarikh siap sesuatu projek perlu dilanjutkan kerana apabila perancangan dibuat, terdapat banyak faktor di tapak tidak dapat diambil kira.

“Dalam kes ini pun, projek pada asalnya dijangka siap pada suku pertama Mac 2019, tetapi disebabkan cabaran di tapak serta isu pengambilan tanah, ianya dijangka akan lambat setahun iaitu pada Mac 2020 untuk bahagian projek di bawah MBPP sahaja,” ulasnya sambil memaklumkan bahawa pemajuan projek di tapak berkenaan telah mencapai kadar 60 peratus.

Menurut Kon Yeow, projek pembinaan tersebut merangkumi empat bahagian utama di sepanjang Lebuh Raya Thean Teik ke Bukit Jambul.

“Untuk bahagian pertama adalah melibatkan pelebaran Lebuh Raya Thean Teik yang telah siap sepenuhnya.

“Manakala, bahagian kedua pula melibatkan pihak pemaju swasta. Ia belum dimulakan sehingga kini kerana projek ini sekarang masih dalam Lembaga Rayuan, maka pemaju tidak dapat memulakan kerja lagi.

“Bahagian ketiga, di bawah tanggungjawab PLB yang mana pemajuan projek telah mencapai tahap 30 peratus dan dijangka siap pada tahun 2021.

“Dan bahagian keempat adalah di bawah MBPP iaitu dari kawasan Majestic Height hingga ke Bukit Jambul termasuk satu persimpangan dari Jalan Tun Sardon yang bersambung dengan Bukit Kukus (kawasan insiden runtuhan),” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZIVideo : DARWINA MOHD. DAUD