ADUN Jawi tubuh pasukan peronda, nasihat anggota jangan salah guna kuasa

Admin

JAWI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berharap penubuhan Pasukan Peronda Kawasan MPKK Bukit Panchor dapat membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengurangkan kes jenayah di peringkat komuniti.

“Pasukan Peronda ini walaupun bergerak secara sukarela, tapi ia tidak ada kuasa seperti polis.

“Keselamatan diri adalah paling utama, walaupun tanggungjawab pasukan ini adalah meronda untuk memastikan tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

“Bagaimanapun, jika ada yang membuat kesilapan ataupun kesalahan, saya akan mengambil tindakan tegas dan bubarkan Pasukan Peronda

“Saya nak tegaskan jangan menyalahguna kuasa,” ujarnya ketika merasmikan majlis penuhuhan pasukan kepolisan kemasyarakatan tersebut di Pusat Sumber Alam Sekitar Bukit Panchor dekat Taman Seri Bayu, Nibong Tebal pada 18 Julai 2019.

Sebelum itu, Inspektor Nurshahidah Abdul Kadir dari Balai Polis Jawi memberikan taklimat khas mengenai had tanggungjawab serta bidang tugas anggota sukarelawan bagi pasukan kepolisan kemasyarakatan tersebut.

Beliau turut mengalu-alukan anggota Pasukan Peronda MPKK Bukit Panchor menyertai Operasi Bersepadu PDRM yang dilaksanakan pada hari Jumaat tiap-tiap minggu, mulai jam 10.00 malam hingga 2.00 pagi.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Heng Yeh Shiaun; Penghulu Kawasan Jawi, Muhammad Fadzli Mat Esa; dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Panchor, Ong Hong Boon turut sertai majlis ringkas pelancaran pasukan sukarelawan tersebut.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD