Steven Sim biaya RM450,000 projek kurangkan risiko banjir, 150 bakal keluarga dapat manfaat

Admin

PADANG LALANG – RM450,000 anggaran projek mengurangkan risiko banjir termasuk pemasangan pam di Taman Kota Permai di sini akan dibiayai sendiri oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bernard Cheen berkata bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksana proses tender bagi projek itu dalam masa terdekat.

“Lebih kurang 150 unit kediaman dan rumah kedai akan mendapat manfaat selepas projek ini siap.

“Mewakili YB (Steven Sim), saya juga berharap, kelak, projek ini dapat mengurangkan lagi risiko banjir di sekitar kawasan ini,” jelasnya pada sidang media di sini pada 19 Julai 2019.

Beberapa pegawai daripada Jabatan Kejuruteraan MPSP serta Jothi Jhen Hao (wakil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Lalang, Chong Eng yang juga Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam) turut sertai lawatan tapak tersebut, tadi.

Menurut Bernard, sekitar kawaasan di sini acapkali dilanda banjir, apabila hujan terlalu lebat bertembung dengan limpahan air Sungai Pasir di sini.

“Daripada maklum balas penduduk di sini, dalam setahun ada lah tiga atau empat kali kawasan kediaman dan lot komersial mereka akan dilanda banjir.

“Kali terakhir sekitar kawasan di sini dilanda banjir pada 4 April (2019), dengan paras air di atas jalan setinggi setengah kaki,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Bernard turut mengumumkan langkah penutupan sebahagian Jalan Betik pada 21 Julai ini, mulai jam 6.45 pagi hingga 10 pagi, bagi memberi laluan pada acara Fit Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“YB Steven Sim bersama-sama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman akan merasmikan acara itu nanti,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD