ADUN, MP puji semangat kesukarelawan sertai gotong-royong

Admin

PULAU BETONG – Pejabat Pusat Khidmat KADUN Pulau Betong bari-baru ini menganjurkan aktiviti gotong-royong di Pusat Harian Harapan Bakti Balik Pulau dekat sini.

Aktiviti yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Simpang Empat itu disertai kira-kira 100 individu yang terdiri daripada penduduk kawasan sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail ketika dihubungi berkata, aktiviti gotong-royong menjadi rutin di sini dalam memastikan kebersihan dan keceriaan persekitaran terjaga.

“Kali ini kita adakan aktiviti ini di pusat (Pusat Harian Harapan Bakti Balik Pulau) ini yang merupakan pusat khas untuk anak-anak istimewa.

“(Dan) pagi ini, kita lihat bukan sahaja waris pelajar istimewa di sini hadir, tetapi juga hampir keseluruhan jawatankuasa penganjur dan penduduk di sekitar sini,” ujarnya yang turut menyeru agar lebih ramai lagi menyertai kerja-kerja kemasyarakatan seperti ini secara sukarela pada masa hadapan.

Menariknya, aktiviti gotong-royong yang diadakan pada 30 September lalu turut disertai oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Warisan dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Pokok sakit dan mengancam keselamatan awam dicantas.

Ketika berucap, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada JKKK Simpang Empat dan MBPP kerana berjaya memastikan perjalanan aktiviti gotong-royong di sini lancar.

“Saya juga terharu dengan sambutan masyarakat dalam menjayakan gotong-royong di pusat (Pusat Harian Harapan Bakti Balik Pulau) ini.

“Mereka ini (anak-anak istimewa) adalah anak syurga yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat dalam apa jua aspek wajar.

“(Dan) sebagai Ahli Parlimen (MP) di sini (Balik Pulau) saya akan melihat keperluan lain untuk membantu pusat ini termasuk membaik pulih bumbung yang telah uzur,” katanya.
Aktiviti gotong-royong yang dimulakan dengan acara senamrobik itu turut dijayakan oleh Penghulu Kanan, Mohd Farouk Varusai dan Ahli Majlis MBPP, Nur Zarina Zakaria.

Oleh : YUSNINA YUSOF
Gambar : IDZHAM AHMAD