TYT sempurnakan empat mural 3D daripada penutup botol minuman

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas berkenan menyempurnakan kanvas mural tiga dimensi (3D) menggunakan 113,190 penutup botol minuman terpakai dalam satu majlis yang diadakan di Pejabat MPSP, di sini 2 Oktober 2018.

Projek membuat mural berkenaan adalah anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai oleh Pensyarah Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif UPSI, Profesor Dr. Mohd. Fauzi Sedon.

Sebanyak empat mural 3D berukuran 20′ x 8′ dihasil berdasarkan gambar-gambar pemandangan terpilih di Seberang Perai iaitu, Hutan Lipur Bukit Panchor, Hutan Pelajaran Air Itam Dalam dan Permatang Rambai (2).

Salah satu Mural 3D yang dihasilkan berdasarkan pemandangan di Hutan Pelajaran Air Itam Dalam, Seberang Perai Tengah.

Seramai 595 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan UPSI, pegawai dan kakitangan MPSP, ‘Wira Oren’, wakil persatuan dalaman MPSP, agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta, kilang, pihak sekolah, wakil komuniti serta orang awam mengambil bahagian untuk menyiapkan mural-mural berkenaan.

Keempat-empat mural berkenaan diletakkan di dinding Menara MPSP yang boleh dilihat oleh para pengunjung.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud dalam ucapannya berkata, pihaknya dan UPSI juga bersetuju untuk mengembangkan idea kreatif kombinasi Smart Consumption Model 8R dan pengurusan sisa di punca dalam penyediaan mural 3D ke sekolah-sekolah, komuniti atau sektor swasta mulai tahun depan.

“Kerjasama warga Seberang Perai untuk turut bersama-sama dalam menyiapkan mural 3D daripada penutup botol sejajar dengan sasaran MPSP untuk menjadi bandar raya rendah karbon dan bandar raya pintar menjelang 2020.

Pemandangan indah di Permatang Rambai.

“Oleh itu, bagi sekolah-sekolah, komuniti atau sektor swasta yang berminat boleh menghubungi MPSP, unit eko-komuniti dan mengemukakan cadangan mural 3D masing-masing,” ujar beliau.

Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Goh Choon Aik; Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod dan ramai lagi.

Dalam perkembangan lain, Rozali memberitahu, MPSP juga kini dalam perancangan untuk mengadakan kerjasama pintar dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Pertanian Pulau Pinang bagi mewujudkan Seberang Perai sebagai hab pengeluaran padi organik.

“Langkah ini memandangkan MPSP mempunyai keupayaan untuk mengumpul baja-baja kompos yang diproses daripada sisa-sisa makanan dan sisa kebun.

“Manakala institusi pengajian tinggi dan agensi berkaitan mempunyai teknologi penggunaan baja kompos untuk menggantikan baja kimia terutamanya dalam sektor penanaman padi,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS