ADUN pandang serius wabak denggi

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI – Tiga daripada 24 pemilik premis sekitar Perkampungan Jawi diberi kompaun sehingga RM500 dalam empat operasi berasingan membabitkan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) kerana dikenalpasti sebagai lokasi positif pembiakan nyamuk Aedes.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee berkata, situasi itu serius memandangkan sebanyak 64 kes direkodkan di daerah berkenaan pada tahun 2013 berbanding 60 kes pada tahun sebelumnya.

“Saya sangat memandang serius isu ini kerana satu lagi wabak telah diisytiharkan di Perkampungan Jawi untuk tahun 2014 dengan bilangan dua kes disahkan dan tujuh kes disyaki (suspek denggi),” ujarnya pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Demi membasmi pembiakan nyamuk Aedes, beliau berkata, Jabatan Kesihatan Daerah turut melaksanakan aktiviti ‘larvaciding’ serta empat kali semburan kabus di kawasan-kawasan berwajib, termasuk pada sistem perparitan sedia ada yang didakwa masih tidak sempurna.

Tidak cukup dengan itu, jelas Lip Chee, tujuh banting turut dinaikkan di sekitar Perkampungan Jawi demi mengajak warga setempat menyertai kempen membasmi wabak berbahaya itu.

“Ini macam kempen nilai untuk tujuan pencegahan,” jelas begitu.

Dalam tempoh Januari hingga 21 Disember 2013, sebanyak 41,226 kes denggi dilaporkan meliputi seluruh negeri.

Dari jumlah kes itu, angka kematian direkodkan meningkat sebanyak 151 peratus atau 88 kematian pada tahun 2013 berbanding 35 kematian pada tahun sebelumnya.

Pulau Pinang direkodkan antara negeri yang menunjukkan peningkatan kes denggi pada tahun 2013 berbanding tahun berikutnya, iaitu sebanyak 31 peratus.

Tujuh kematian direkodkan di Pulau Pinang pada tahun lepas, manakala, satu kes kematian terbaru dua minggu lepas.