Baiki rumah sebelum sewa beli RM100 sebulan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri membeli 51 rumah pangsa kos rendah di Taman Seruling Emas dekat  Seberang Perai Selatan (SPS) dan akan dijual kepada pemohon yang layak secara sewa beli pada kadar RM100 sebulan, tidak termasuk RM20 kos penyelenggaraan tiap-tiap bulan.

Atas maksud itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan RM71,000 lagi untuk menyediakan
kelengkapan asas seperti kipas dan lampu di kesemua rumah berkenaan demi memberi keselesaan kepada bakal pembeli yang layak.

Itu, katanya, tidak termasuk kos RM679,362 yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri bagi membaiki kerosakan sedia ada di unit-unit rumah tersebut, khususnya pada bahagian bumbung.

“Memandangkan cadangan ini dikemukakan atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR), maka, perbincangan lanjut telah dibuat bersama (pemaju) Syarikat Asas Dunia Berhad,” ujarnya Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian dan Pembaikan 51 Unit Rumah Pangsa Kos Rendah Taman Seruling Emas, Lot 904, Mukim 5, SPS di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Pengerusi Syarikat Asas Dunia Berhad, Datuk Jerry Chan.

Menurut beliau, pengurusan 51 unit rumah tersebut akan diserahkan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sejurus perjanjian pembelian dan pembaikan selesai ditandatangani.

“Pengagihan dan penawaran akan dibuat oleh Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (SPECS) untuk memastikan pengagihan dibuat secara adil dan telus kepada golongan yang memerlukan dengan diaudit bersama oleh syarikat perakaunan,” jelas Guan Eng.

Tambah beliau, pemohon yang layak akan menandatangani perjanjian  bersama Kerajaan Negeri di bawah Skim Sewa Beli pada kadar RM100 sebulan berserta RM20 kos penyelenggaraan tiap-tiap bulan dalam tempoh 15 tahun.

Terdahulu, Rumah Pangsa Kos Rendah lima tingkat di Taman Seruling Emas dibina pada tahun 1994, dengan keluasan setiap unit adalah 51 meter persegi (548.96 kaki persegi) dan mempunyai dua bilik.

Sebanyak 170 unit rumah di Blok A, manakala, 190 unit (Blok B). Dari 360 unit rumah di taman tersebut, 309 unit rumah telahpun diduduki. Manakala, baki sebanyak 51 unit rumah masih kosong, iaitu enam unit di Blok A dan 45 unit (Blok B).

Dalam pembentangan Bajet 2014 Pulau Pinang lepas, Guan Eng pembentangan pelan Sewa Beli 51 unit rumah kos rendah tersebut dan dipersetujui di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan pinjaman tanpa riba untuk pembelian 104 unit rumah kos rendah jenis ‘town house’ di Taman Sungai Duri Permai dekat SPS.

Difahamkan, pembeli perlu membuat pinjaman bank 70 peratus harga pasaran rumah RM38,000 untuk membeli 104 unit rumah berkenaan, manakala, baki 30 peratus lagi adalah pinjaman tanpa faedah daripada Kerajaan Negeri.