GEORGE TOWN – Pelaksanaan lima projek pembangunan infrastruktur di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam sepanjang 2025 hingga 2026 terus memperkukuh kemudahan awam, meningkatkan kesejahteraan penduduk serta menjadikan kawasan berkenaan lebih mampan dan berdaya tahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, kejayaan pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama agensi berkaitan dalam memastikan pembangunan infrastruktur yang seimbang dan memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Menurutnya, antara projek yang telah disiapkan ialah Taman Madani Taman Kejiranan Jalan Cheeseman yang dibangunkan dengan peruntukan RM412,580.
“Projek ini telah siap sepenuhnya dengan menyediakan kemudahan rekreasi, laluan pejalan kaki mesra orang kurang upaya (OKU) serta pencahayaan solar, sekali gus mewujudkan ruang riadah dan interaksi yang lebih selesa untuk masyarakat setempat.
“Untuk makluman, taman ini juga merupakan Taman Madani pertama yang siap dibina di Pulau Pinang di bawah projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya ketika membahaskan Belanjawan Pulau Pinang 2027 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, projek menaik taraf Astaka Kampung Melayu dengan kos RM2.6 juta yang dibiayai oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih bersih, selesa dan selamat kepada penjaja serta peniaga kecil.
Selain itu, katanya, dua gelanggang sepak takraw di Padang Suria dan Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu telah siap dan dirasmikan dengan anggaran kos keseluruhan RM1,121,902.55.
Menurutnya, kemudahan berkenaan dilengkapi bumbung kalis cuaca, lampu limpah LED dan kemudahan awam yang lengkap bagi menyokong pembangunan bakat sukan serta aktiviti belia setempat.
“Penyediaan gelanggang ini juga penting untuk mengembalikan kegemilangan Kampung Melayu sebagai gelanggang tradisi yang melahirkan olahragawan sepak takraw Pulau Pinang,” katanya.
Dalam aspek ketahanan utiliti awam, Soon Siang berkata, projek kabel bawah tanah 132 kilovolt (kV) Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM90 juta yang menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Farlim berhampiran Sunshine Central dengan PMU Air Terjun di kawasan Botanic Gardens kini berada pada fasa akhir penyiapan turapan semula jalan dan pemulihan turapan secara berperingkat.
Projek yang dimulakan pada Jun 2024 itu melibatkan jajaran Kampung Baru dan Jalan Air Itam.
Beliau berkata, pemodenan grid elektrik berkenaan dijangka meningkatkan kestabilan dan kecekapan bekalan tenaga elektrik di kawasan Air Itam bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, selain mengurangkan risiko gangguan bekalan voltan tinggi ketika permintaan elektrik memuncak.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menyiapkan projek pengukuhan tebing dan pendalaman sungai serta parit monsun di Sungai Air Itam, Kampung Pisang dan Kampung Melayu.
“Kerja-kerja ini terbukti membantu mengurangkan risiko limpahan air ketika musim tengkujuh, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan penduduk yang berdepan risiko banjir,” katanya.
Mengulas lanjut, Soon Siang berkata, pelaksanaan pelbagai projek tersebut bukan sahaja menambah baik kemudahan fizikal, malah berpotensi merancakkan kegiatan ekonomi setempat dan meningkatkan daya saing Air Itam sebagai kawasan perbandaran yang mampan, berdaya tahan serta mesra rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap agar semua kemudahan yang telah disiapkan diberikan penyelenggaraan secara berterusan bagi memastikan fungsi, keselamatan dan kualitinya dapat dikekalkan untuk jangka panjang.
“Pembangunan yang baik bukan sekadar diukur berdasarkan kejayaan menyiapkan projek tetapi juga sejauh mana kemudahan tersebut terus memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS