ADUN puji pihak berkuasa berjaya kawal pasar kawasan terpadat Pulau Pinang

Admin

PAYA TERUBONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin memuji komitmen pihak berkuasa dalam mengawal pasar di kawasan DUN terpadat di Pulau Pinang.

 

Jelasnya, sungguhpun DUN tersebut berkepadatan tinggi, namun keadaan di Pasar Awam Farlim terkawal hasil dari dedikasi ditunjukkan yang terdiri daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat dan pihak polis.

 

“Pada mulanya mereka (orang ramai) memang tidak biasa, tetapi selepas membuat kawalan melalui MPKK, polis dan MBPP, semua dijaga dengan baik dan penduduk pun faham apa tujuan perintah kawalan pergerakan (PKP) khususnya social distancing (jarak sosial).

 

“Jadi dari tempoh mula PKP pada 18 Mac lalu sehingga kini, bagi saya keadaan di Pasar Awam Farlim Berjaya dikawal oleh pihak berkuasa dengan sangat baik secara keseluruhan walaupun pada hari pertama dan kedua sedikit masalaah,” ujar Soon Hin yang juga merupakan Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH).

 

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP, Rohaizat Hamid dan Ketua Polis Balai Bandara Baharu Air Itam, Sub Inspektor, Abdul Majid Abdul Gaffor.

 

Katanya, walaupun hari Sabtu dan Ahad pasa tersebut mengalami kebanjiran luar biasa, namun tetap berjaya dikawal dengan baik.

 

“Nampak gaya orang awam makin faham, di sini kita buat dua barisan, satu untuk orang tua dan orang kurang upaya satu lagi untuk orang muda.

 

“Keadaan di dalam pun terkawal dengan anggota polis sentiasa ingtkan mereka untuk menjaga jarak satu meter antara satu sama lain,” katanya.

 

Tinjauan Buletin Mutiara pada jam 8.30 pagi tadi barisan pengunjung yang menunggu giliran masuk ke pasar didapati sepanjang kira-kira 200 meter.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar & Video : LAW SUUN TING