ADUN saran JPS segera tindak elak banjir berulang

Oleh: AHMAD ADIL MOHAMAD

SEBERANG JAYA – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berwajib lain disarankan mempercepat pelaksaan pelan mendalamkan sistem saliran serta sungai di kawasan-kawasan kediaman yang dikenal pasti kerap berlaku banjir supaya bencana itu tidak lagi berulang kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata demikian selepas turun padang melihat sendiri kawasan-kawasan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) yang dilanda banjir baru-baru ini.

Beliau berkata, sistem saliran yang tidak sempurna merupakan antara punca berlakunya banjir, selain, faktor hujan lebat yang berpanjangan.

“Ia (banjir) melibatkan Permatang Rawa, Mengkuang Semarak, Mengkuang Titi, Padang Lalang, Jalan Baru dan Kampung Besar, serta membabitkan lebih dari 344 buah rumah.

“Air mula naik dari jam 2.00 pagi dan hasil tinjauan mendapati ada juga rumah yang ditenggelami air sehingga paras paha,” ujar Dr. Afif selepas melawat rumah mangsa banjir dekat Kampung Permatang Rawa.

Turut serta, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Abdul Jalil Che Ros. Dr. Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan berkata, pihaknya akan berbincang dengan JPS bagi menangani masalah malar segar tersebut.

“Kita akan terus memantau kawasan sekitar dan menyarankan JPS untuk mendalamkan sistem saliran supaya masalah ini dapat diselesaikan dan tidak berulang setiap kali musim hujan tiba,” ujar beliau.