Proses kewarganegaraan tidak wajar dirumitkan – Ramasamy

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy tidak berpuas hati dengan kerenah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang kerap kali memberi pelbagai alasan berikutan inisiatifnya dalam menyelesaikan masalah- masalah kewarganegaraan di sini.

Katanya, antara masalah yang kerap kali timbul adalah permohonan yang telah lama dibuat tetapi kekal tiada jawapan, proses permohonan terlalu birokratik khususnya membabitkan pemohon kurang berpendidikan dan kes permohonan sijil lahir serta kad pengenalan membabitkan individu tidak mengetahui kedudukan ibu bapa kandung masing-masing serta segolongan adalah yatim piatu.

“Sejak Februari lalu, Kerajaan Negeri telah melantik lima Pegawai Kewarganegaraan berpengalaman bagi menolong menyelesaikan isu ini.

“Pegawai-pegawai dilantik hanya boleh menolong individu-individu berkaitan memproses permohonan dan keputusan akhir masih terletak pada pihak jabatan (JPN).

“Sepatutnya proses ini tidak dirumitkan dengan segala kerenah birokrasi,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Ramasamy memberitahu, sejak ditubuhkan, jawatankuasa berkenaan telah membantu 351 individu berhubung masalah dihadapi.

Dalam pada itu, beliau turut merayu agar pihak media melanjutkan isu tersebut kepada umum rentetan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 19 September lalu berhubung kejayaan tiga individu memperoleh hak kewarganegaraan hanya setelah kes masing-masingm disiarkan.

Salah seorang pemohon, Abdul Ghani Abdullah, 57, yang dilahirkan di Puchong,

Selangor sudah melengkapkan semua

borang permohonan tetapi masih gagal

mendapatkan hak beliau.

“Saya fasih berbahasa Melayu, Tamil

dan Inggeris, tetapi bila pergi ujian, kerap

kali mereka mengatakan saya gagal dan

sehingga kini memegang kad pengenalan

merah,” ujar Abdul Ghani.

Lebih menghairankan apabila tiga anak

beliau diberikan status warganegara dan

ibu bapanya juga adalah merupakan

warganegara.

Bagi Mooi Hong Fatt, 53, yang

dilahirkan di Brunei, beliau turut

mengalami masalah serupa apabila pulang

untuk mendaftar di Malaysia yang mana

JPN hanya memberikan surat lahir

kecemasan kepadanya.

“Saya memohon kad pengenalan biru

sejak berusia 13 tahun lagi. Sebagai

makluman, ibu bapa, isteri dan anak saya

merupakan pemegang kad pengenalan

biru tetapi saya dinafikan,” jelasnya.