ADUN saran MPSP bangunkan Bukit Suling sebagai kawasan ekopelancongan

PENANTI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin berharap agar Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dapat membangunkan Bukit Suling sebagai kawasan ekopelancongan.

Beliau berkata, Bukit Suling (Bukit Langkap) dan kawasan sekitarnya mempunyai pelbagai daya tarikan dan kemudahan yang berpotensi untuk dijadikan sebagai salah satu destinasi pelancongan popular di negeri ini.

Para peserta Forest Bathing memulakan perjalanan mendaki Bukit Suling.

“Di sini juga pernah dijalankan pertandingan burung dan pertunjukkan kapal terbang kawalan jauh yang lengkap dengan landasan.

“Oleh itu, diharapkan pihak MPSP dapat bantu bangunkan Bukit Suling ini sebagai kawasan pelancongan,” katanya semasa merasmikan program Forest Bathing anjuran MPSP dekat Bukit Suling, di sini 13 April lalu.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi MPSP, Bernard Cheen Goon Hooi; Pemilik Bukit Suling, Ong Chin Chye; Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Tan Choo Eng serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan MPSP.

Difahamkan, program Forest Bathing merupakan konsep yang mula-mula diperkenalkan di Jepun pada tahun 1980-an dengan gelaran “Shirin-Yoku”.

Ia adalah asas penjagaan kesihatan dan pencegahan dalam perubatan Jepun yang melibatkan aktiviti riadah di hutan hijau sambil menghirup udara serta menikmati keindahan alam selain menjadi terapi minda untuk mendapatkan ketenangan.

Dalam pada itu, Bernard Cheen semasa berucap menyatakan bahawa MPSP komited melaksanakan visi Penang2030 iaitu “A Family-Focused Green and Smart State That Inspires the Nation’.

“Selaras dengan wawasan Penang2030, MPSP merupakan sebuah organisasi berorientasikan rakyat yang memperkasakan masyarakat dengan menggalakkan mereka membuat keputusan dalam program-program pembangunan.

“Salah satu keutamaan strategik yang berpaksikan rakyat adalah memperkembangkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk di Seberang Perai,” ujarnya mewakili Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod pada majlis berkenaan.

Pada program tersebut, kira-kira 200 peserta yang mengambil bahagian dibawa mendaki Bukit Suling yang berkeluasan 3.38 ekar dan berketinggian 180 meter sambil menghirup udara segar dan menikmati keindahan flora dan fauna.

Teks & gambar : SUNARTI YUSOF