Projek PIL 1 peroleh kelulusan bersyarat laporan EIA, dijangka mula Julai 2020

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memberikan kelulusan bersyarat terhadap laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi cadangan pembinaan Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) yang merupakan salah satu daripada komponen di bawah inisiatif Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

 

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa kelulusan tersebut dimaklumkan melalui sepucuk surat pada 10 April 2019.

 

“Surat kelulusan tersebut menyatakan bahawa laporan EIA bertarikh 2 Januari 2019 telah melalui penilaian serta pertimbangan oleh Jawatankuasa Teknikal Penilaian Laporan EIA, dan didapati memenuhi kehendak Seksyen 34A (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

 

“Susulan penilaian tersebut, laporan EIA dikemas kini dan dikemukakan kepada JAS pada 22 Mac 2019 yang mana laporan ini diluluskan bersama-sama 56 syarat-syarat utama yang hanya sah diterima pakai dalam tempoh dua tahun daripada tarikh surat kelulusan ini dikeluarkan,” ujarnya pada sidang media di Komtar tadi.

 

KETUA Menteri menunjukkan salinan surat kelulusan bersyarat yang diterima daripada Jabatan Alam Sekitar baru-baru ini.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Ketua SPV PTMP, Dato’ Lim Hock Seng; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu serta wakil daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan SRS Consortium selaku rakan pelaksana projek.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa kelulusan laporan EIA berkaitan adalah suatu pencapaian besar yang membolehkan projek tersebut dilaksanakan.

 

“Malah, dengan kelulusan itu juga, visi Kerajaan Negeri untuk menangani kesesakan lalu lintas di negeri ini dapat direalisasikan melalui insiatif pembangunan infrastruktur pengangkutan.

 

“Langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan kelulusan daripada jabatan-jabatan kerajaan berkaitan bagi memastikan pembinaan PIL 1 ini dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun 2020 seperti yang disasarkan.

 

“(Dan) Kerajaan Negeri komited dalam memastikan pelaksanaan projek ini mematuhi segala syarat dan garis panduan JAS dengan mengguna pakai prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus pada setiap peringkat projek,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa fasa berikutnya adalah bagi mendapatkan reka bentuk terperinci dan pakej pelantikan kontraktor menerusi tender terbuka.

 

“Kerajaan Negeri juga giat mendapatkan kelulusan berkaitan bagi projek LRT (Transit Aliran Ringan) Bayan Lepas dan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) yang mana projek-projek ini akan menjadi pemangkin membangunkan Pulau Pinang untuk beberapa dekad akan datang.

 

“Saya yakin dengan pengumuman ini, Kerajaan Negeri akan menerima kertas-kertas cadangan daripada pihak-pihak yang berminat untuk turut serta membangunkan projek PIL 1 ,” jelasnya yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses mendapatkan kelulusan EIA ini.

 

Jajaran PIL 1 sepanjang 19.5 kilometer (km) ini merangkumi seksyen jejambat sepanjang 7.6km, empat seksyen terowong dengan panjang keseluruhan 10.1km dan seksyen tambakan (embankment) 1.8km.

 

Difahamkan, jajaran PIL 1 bermula di Persiaran Gurney sehingga ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu berdekatan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas IV.

 

Sebanyak enam ‘interchange’ dicadangkan di lokasi strategik sepanjang jajaran ini bagi penyuraian trafik yang efisien.

 

Projek pembinaan PIL 1 dijangkakan bermula Julai 2020 dan siap menjelang Jun 2026.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING