ADUN sedia pengangkutan percuma untuk warga emas ke PPV

Admin

GEORGE TOWN – Beberapa wakil rakyat di negeri ini mengambil inisiatif membantu kumpulan warga emas yang mempunyai kesukaran untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, JASON H’NG MOOI LYE antara yang mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma bagi memudahkan golongan warga emas di kawasan berkaitan untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Sehingga hari ini, kami sudah membantu lebih kurang lima orang warga emas dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma untuk mereka yang mahu pergi ke PPV.

Perkhidmatan pengangkutan percuma untuk membawa warga emas ke PPV yang disediakan oleh Pusat Khidmat ADUN Jawi.

“Jumlahnya agak kecil kerana dua buah PPV di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) iaitu Dewan Serbaguna Jawi dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap terletak agak dekat dengan kawasan perumahan.

“Oleh itu, kebanyakan penduduk di sini mampu pergi sendiri atau meminta bantuan ahli keluarga masing-masing untuk menghantar mereka ke sana.

“Walau bagaimanapun, kami tetap menyediakan perkhidmatan ini sebagai persediaaan untuk membantu mereka yang memerlukan pengangkutan untuk ke PPV pada bila-bila masa sahaja,” katanya ketika dihubungi Buletin Mutiara pagi tadi.

Mooi Lye berkata, memandangkan pihaknya hanya menyediakan sebuah kenderaan sahaja untuk tujuan itu, maka orang ramai yang mahu menggunakan perkhidmatan tersebut perlu menghubungi pusat khidmat (ADUN Jawi) terlebih dahulu.

“Mereka perlu membuat tempahan sehari sebelum tarikh janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Namun begitu, sekiranya terlalu ramai warga emas yang mahu menggunakan kemudahan ini, saya akan menambahkan lebih banyak lagi kenderaan untuk tujuan tersebut.

“Ini kerana apa yang penting sekarang adalah saya mahu mereka semua mendapat vaksi secepat mungkin kerana mereka ini tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi,” katanya.

Goh Choon Aik.

Sementara itu, ADUN Bukit Tambun, GOH CHOON AIK memberitahu bahawa perkhidmatan percuma yang disediakan untuk membawa warga emas ke PPV telah dihentikan sementara buat masa ini.

“Namun begitu, pada 15 Ogos ini, kami akan membawa sekitar 300 orang yang merangkumi warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) ke PPV dekat Balai Raya Bukit Tambun.

“PPV ini adalah sebahagian daripada program unit vaksinasi bergerak (MVU) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri yang mana ia akan dijalankan sehari sahaja bermula jam 9.30 pagi hingga 2.30 petang.

“Objektif program ini adalah bagi membolehkan mereka yang tinggal di kawasan-kawasan kampung atau pinggir bandar pergi ke PPV untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan lebih mudah.

“Kami akan menggunakan lima buah kenderaan untuk tujuan ini dengan dibantu oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan berdekatan,” jelasnya lagi.

M. Satees.

Dalam pada itu, ADUN Bagan Dalam, M. SATEES pula memberitahu bahawa sehingga semalam, seramai 52 warga emas telah menggunakan perkhidmatan pengangkutan percuma yang disediakan untuk ke PPV.

“Kami hanya menggunakan kereta untuk tujuan ini tetapi sekiranya kami menerima lebih banyak permintaan, maka kami akan menggunakan van.

“Bagi yang mahu menggunakan perkhidmatan ini, mereka hanya perlu menghubungi Pusat Khidmat ADUN Bagan Dalam dan kami akan sediakan pengangkutan,” ujarnya.

Bagi ADUN Batu Uban, A. KUMARESAN, inisiatif berkenaan adalah bagi membantu penduduk dan warga emas terutamanya untuk mendapat suntikan vaksin di PPV ditetapkan.

“Setakat ini kami (Pusat Khidmat KADUN Batu Uban) telah melakukan 30 trip yang dibantu oleh kira-kira lapan sukarelawan.

 

“Mereka (penduduk) hanya perlu menghubungi Pusat Khidmat di talian 017- 277 0388. Dengan kemudahan ini, saya berharap lebih ramai lagi yang mendaftarkan diri untuk vaksin.

A. Kumaresab turut menyediakan perkhidmatan sama.

“Dengan menerima vaksin sahaja akan membantu untuk memutuskan rantaian COVID-19, malah jika mereka tidak tahu bagaimana untuk mendaftarkan diri, datang saja ke sini (Pusat Khidmat), kami bersedia membantu anda setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

“Dalam masa sama, jika ada penduduk yang telah berdaftar sejak Februari lagi tapi masih belum menerima tarikh janji temu, boleh menghubungi nombor sama untuk bantuan,” ujarnya sambil mengingatkan penduduk kawasan berkenaan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Manakala, ADUN Batu Lanchang, ONG AH TEONG memberitahu bahawa sehingga kini Pusat Khidmat Batu Lanchang melalui inisiatif sama telah membantu kira-kira 154 warga emas untuk ke PPV.

“Dengan pembukaan PPV yang baharu di SPICE Konvensyen Centre, kami sentiasa bersedia untuk membantu menghantar warga emas ke mana-mana PPV yang telah ditetapkan dengan bantuan tujuh sukarelawan.

Ong Ah Teong membantu salah seorang warga emas yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan percuma yang disediakan Pusat Khidmat KADUN Batu Lancang.

 

“Kriteria bagi mendapatkan perkhidmatan ini ialah warga emas yang tidak mempunyai waris, anak dan pengangkutan… mereka boleh hubungi kami.

“Nasihat saya kepada anak-anak yang masih mempunyai orang tua, bantulah ibu bapa kita untuk mendapatkan vaksin dengan membawa dan menemani mereka,” ujarnya.

ADUN Sungai Pinang, LIM SIEW KHIM pula berkata bahawa sejak 18 Jun lalu pihaknya sentiasa membuat perancangan rapi bagi memastikan pengangkutan yang disediakan digunakan semaksimum mungkin.

“Setakat ini, kami menggunakan van termasuk sebuah ambulans komuniti untuk menghantar warga emas yang terlantar sakit bagi mendapatkan vaksin, yang mana kosnya ditanggung sepenuhnya oleh Pusat Khidmat Sungai Pinang.

“Manakala, untuk ‘walk-in’ PPV, kita masih dalam perancangan untuk memulakan inisiatif sama, dan memandangkan kita harus patuh kepada SOP (prosedur operasi standard), maka setiap trip hanya boleh memuatkan tujuh orang sahaja,” ulas beliau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF & NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI