Pembukaan PPV Vangohh tingkatkan kapasiti vaksinasi

BULETIN Mutiara turut membuat tinjauan kerja-kerja persiapan awal di tapak PPV Vangohh dekat KADUN Machang Bubuk di sini pada tengah hari ini.

MACHANG BUBUK – Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) baru sahaja meluluskan cadangan serta permohonan Pulau Pinang untuk pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Vangohh Eminent & Spa bagi meningkatkan kadar penerimaan vaksinasi di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Perkembangan semasa ini menjadikan daerah berkenaan mempunyai empat PPV dengan kapasiti 4,800 suntikan sehari mulai 9 Ogos 2021.

STEVEN Sim Chee Keong membuat pengemaskinian data maklumat pemohon yang bakal menerima bantuan komputer riba menerusi program ‘Asal Cek Mau Pi Sekolah’ dekat Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang dihubungi pada 8:20 pagi tadi memberitahu bahawa pihaknya mengalu-alukan segala usaha bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksin terutama di daerah SPT.

“Sememangnya dengan populasi yang besar di SPT, daerah kami memerlukan PPV tambahan.

“Di sekitar Machang Bubok pula terletaknya kawasan-kawasan pedalaman, jadi memang akan memudah cara orang-orang kampung akses ke PPV.

“(Justeru,) saya mengalu-alukan perkembangan ini,” jelasnya kepada Buletin Mutiara menerusi aplikasi WhatsApp pada 4 Ogos 2021.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang diterajui Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta CITF atas kelulusan permohonan pembukaan PPV berkenaan.

NURUL Izzah Anwar turun padang melihat sendiri keadaan kelas di Madrasah Al-Aminiah dekat Permatang Nibong, Permatang Pauh selain mendapatkan maklum balas berkaitan daripada guru-guru SAR di sini.

Bagi Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, pihaknya berharap kesemua guru dari 177 Sekolah Agama Rakyat (SAR) sekitar Pulau Pinang dimasukkan dalam kelompok sasar utama untuk mendapatkan vaksin sebelum sesi persekolahan secara bersemuka bermula pada 1 September depan.

“Sebelum ini, telah ada PPV awam, PIKAS (Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta), integrasi, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), IPT (institusi pengajian tinggi), PPV bergerak dan PPV dalam bentuk pusat sehenti.

“Gambarannya, segala usaha mempercepatkan kelajuan pemberian vaksin memang ada, saya menyambut baik usaha Kerajaan Pulau Pinang dan CITF negeri.

“Saya juga harap guru-guru sekolah dari SAR dapat dimasukkan dalam kelompok sasar utama untuk mendapat akses vaksin di semua PPV termasuk dekat daerah SPT, baru boleh ‘kalis pandemik’ sebelum sesi persekolahan dibuka semula,” ujarnya.

P. Kasthuriraani membuat semakan logistik kotak barangan bantuan berkaitan Program Bakul Makanan Peringkat Parlimen Batu Kawan.

Bagi Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani yang dihubungi kemudian memberitahu Pusat Khidmat beliau akan memperbaiki lagi sistem sokongan lanjutan seperti program penyediaan kemudahan membawa warga emas lokal bagi mendapatkan vaksin, demi memastikan pertambahan kapasiti dos harian yang ditingkatkan ini dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Sebenarnya Pengerusi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada bulan April atau Mei lepas ada memberi peruntukan sejumlah RM20,000 untuk Ahli Parlimen melaksanakan program berkaitan vaksinasi di kawasan masing-masing.

“Seperti di Kawasan Parlimen Batu Kawan, sebahagian peruntukan itu memang saya guna untuk menyediakan perkhidmatan kereta Grab untuk membawa warga emas dan golongan terpilih ke PPV berkaitan dan hantar mereka pulang.

“Jadi, selain menyambut baik usaha meningkatkan kapasiti pemberian dos harian peringkat daerah SPT mulai 9 Ogos ini, saya juga akan memperbaiki lagi sistem sokongan (iaitu perkhidmatan pengangkutan kereta Grab dengan) dengan ‘token’ daripada peruntukan RM20,000 ini, agar lebih ramai dapat akses vaksin di PPV,” katanya sambil merakamkan penghargaan atas kolaborasi bagi menjayakan pembukaan PPV berkaitan.

MUHAMMAD Faiz Fadzil (kanan sekali) mendapatkan maklum balas daripada penduduk setempat mengenai Program Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES) serta program suntikan vaksin berkaitan di KADUN Permatang Pauh di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil pula mencadangkan supaya kaedah jumpa terus (walk-in) yang ketika ini dibenarkan kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, diperluaskan kepada kelompok sasar yang lain.

“Saya menyambut baik dan harap peningkatan kapasiti pemberian vaksin harian di PPV yang bakal dibuka ini terus memudahkan semua kelompok sasar seperti peniaga kecil umpamanya.

“Sebelum ini, telah ada pusat sehenti khusus kepada pemandu teksi dan Grab serta penarik beca untuk mendapatkan suntikan; macam OKU (orang kurang upaya) tidak perlu kira umur pun, ada kelonggaran untuk akses vaksin kalau ada kad perakuan OKU.

“Justeru, kalau efisien, diharapkan kaedah jumpa terus diperluaskan kepada kelompok umur lain juga kerana ketika ini negara kita memang ada kemampuan untuk meningkatkan kapasiti suntikan serta mewujudkan PPV baharu berkaitan mengikut daerah, seperti di SPT,” jelasnya lagi.

ANTARA barisan tulang belakang di sebalik kerja-kerja persiapan awal bagi mewujudkan PPV Vangohh dekat Machang Bubuk. Ong Tang Chuan (dua dari kiri) turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Persatuan Dermawan Jishan Bukit Mertajam, Dato’ Tan Kok Aun (dua dari kanan) kerana NGO tersebut turut menjadi penganjur bersama PPV Vangohh dengan sumbangan peruntukan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) kira-kira RM300,000.

Menjelang tengah hari, Buletin Mutiara turut melawat Vangohh Eminent & Spa (Vangohh) dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Machang Bubuk bagi melihat sendiri persiapan awal serta kerja-kerja mewujudkan PPV di hotel bertaraf lima bintang tersebut.

ONG Tang Chuan

Menurut Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GTM Group, Ong Tang Chuan, Vangohh merupakan syarikat subsidiari Kumpulan GTM yang mana Dato’ Sri Goh Choon Kim adalah Pengerusi Kumpulan firma tersebut.

“Hasrat menyediakan hotel bertaraf lima bintang sebagai tapak operasi PPV ini merupakan hasrat Dato’ Sri sendiri memandangkan beliau adalah anak jati tempatan dan mahu menyumbang sesuatu untuk penduduk di kawasan Parlimen Bukit Mertajam sempena pendemik.

“Walaupun sektor perhotelan turut terkesan dek PKP, Vangohh terpanggil untuk melaksanakan program CSR (tanggungjawab sosial korporat) dengan menawarkan tempat kami sebagai tapak PPV secara tanpa syarat.

“Sebagaimana disebut oleh Ketua Menteri (Kon Yeow), tidak ada mana-mana pihak akan selamat selagi kita tidak memastikan tiap-tiap pihak benar-benar lengkap mendapatkan dua suntikan vaksin, baru semua sektor ekonomi termasuk perhotelan boleh kembali dibuka dengan SOP (prosedur operasi standard) berkaitan yang wajar,” jelasnya.

Difahamkan, PPV Vangohh dibuka untuk tempoh percubaan selama sehari pada 8 Ogos dengan kapasiti suntikan harian sebanyak 250 dos; disusuli 2,000 suntikan sehari dalam kapasiti penuh pada hari berikutnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD