GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng memperjelas sebab beliau turun padang dan menyertai sesi bantahan penduduk di Gelugor baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan tersebut adalah bagi menyatakan sokongan terhadap kebimbangan rakyat berhubung cadangan projek pembangunan berintensiti tinggi di kawasan yang diwakilinya, memandangkan kawasan tersebut kini sedang berdepan tekanan pembangunan yang amat hebat.
Semasa membahaskan Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15, Hooi Peng menegaskan bahawa penduduk di kawasan terlibat sebenarnya bimbang dan telah pun terkesan akibat projek pembinaan Lebuhraya Pintasan Air Hitam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu yang masih berjalan.
“Keresahan penduduk adalah sesuatu yang wajar dan tidak boleh diketepikan.
“Apabila timbul pula cadangan pembangunan baharu di kawasan berhampiran, mereka bimbang terhadap impak kesihatan, keselamatan serta kualiti hidup,” katanya kepada Timbalan Speaker DUN, Dato’ Azrul Mahathir Aziz di Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Lebuh Light pada 11 Mei 2026.
Mengulas lanjut, Hooi Peng berkata bahawa beliau bersama Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dalam sesi bantahan tersebut menyatakan bahawa walaupun Kerajaan Negeri tidak boleh menghalang pemilik tanah daripada mengemukakan permohonan pembangunan, namun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) wajib memastikan semua aspek teknikal dipatuhi sepenuhnya.
Di samping itu, beliau turut mempersoal sejauh mana proses kelulusan pembangunan di Pulau Pinang mengambil kira had kemampuan (carrying capacity) sesuatu kawasan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Kerajaan Negeri membangunkan ‘Integrated State Infrastructure Capacity System’ bagi memantau kapasiti utiliti secara digital.
Menurutnya lagi, sistem pemantauan pintar tersebut bertujuan menilai kapasiti sebenar grid elektrik, bekalan air, sistem pembentungan dan telekomunikasi, sebagaimana diamalkan di negara maju seperti Jepun, Australia dan Republik Singapura melalui penggunaan data pemetaan digital dalam perancangan bandar.
“Sekiranya keperluan teknikal gagal ditangani dengan memuaskan, projek berintensiti tinggi tersebut tidak wajar diteruskan,” tegasnya lagi.
Selain isu pembangunan, Hooi Peng turut membangkitkan masalah kecurian kabel utiliti yang semakin berleluasa di kawasannya.
Beliau menyifatkan kegiatan tersebut bukan sahaja merugikan harta awam, malah membahayakan nyawa apabila penutup lubang di jalan raya sering dibiarkan terbuka.
“Kejadian ini berlaku secara berulang di lokasi sama hampir setiap hari, seolah-olah mencabar kewibawaan pihak berkuasa dan memberi persepsi bahawa penjenayah boleh bertindak tanpa sebarang tindakan berkesan,” katanya.
Mengakhiri perbahasan, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap pelan pembangunan strategik seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Pulau Silikon, namun mengingatkan agar pembangunan fizikal mesti bergerak seiring dengan kesiapsiagaan infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI