GEORGE TOWN – Pulau Pinang berisiko terlepas peluang keemasan untuk muncul sebagai destinasi pelaburan utama serantau sekiranya Kerajaan Persekutuan terus melengah-lengahkan cadangan penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, ketidakstabilan geopolitik di rantau Timur Tengah kini mendorong pelabur antarabangsa mencari lokasi pelaburan baharu yang lebih stabil, selamat dan berdaya tahan di Asia Tenggara.
Menurutnya, situasi tersebut merupakan peluang strategik yang perlu direbut segera oleh Kerajaan Negeri menerusi percepatan pelaksanaan hab kewangan antarabangsa berkenaan.
“Dalam keadaan ini, pelabur antarabangsa cenderung mengalihkan dana mereka ke lokasi yang lebih stabil dan berdaya tahan. Inilah peluang strategik untuk Pulau Pinang.
“Dengan ekosistem kewangan yang matang serta cadangan Pusat Kewangan Antarabangsa yang progresif, negeri ini berada pada kedudukan terbaik untuk menarik aliran dana tersebut ke dalam ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 11 Mei 2026.
Lai Heng berkata, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow telah menunjukkan kesungguhan dalam merealisasikan cadangan tersebut apabila mengadakan mesyuarat sulung Pasukan Petugas Khas (Special Task Force) pada 6 April lalu.
Menurutnya, pasukan tersebut kini sedang menyediakan Kertas Putih yang komprehensif sebagai asas pelaksanaan pusat kewangan antarabangsa berkenaan.
“Ia bukan sekadar inisiatif ekonomi biasa, tetapi satu anjakan paradigma untuk melonjakkan Pulau Pinang sebagai hab teknologi kewangan (fintech) dan inovasi serantau,” tambahnya.
Sementara itu, ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng turut menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan penubuhan hab kewangan khas antarabangsa di Pulau Pinang susulan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah ketika ini.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU