ADUN Seri Delima serius cegah denggi

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 

R.S.N. Rayer menyembur tayar-tayar buangan yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk di sekitar kawasan DUN Seri Delima.
R.S.N. Rayer menyembur tayar-tayar buangan yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk di sekitar kawasan DUN Seri Delima.

SERI DELIMA – Demi keselamatan rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer bersama-sama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) Island Glades dan penduduk setempat telah mengambil inisiatif mengadakan pemantauan, pemeriksaan premis kediaman serta mengenal pasti kawasan pembiakan nyamuk Aedes dan tiruk di sekitar kawasan ini baru-baru ini.

Isu peningkatan dan langkah-langkah membendung permasalahan denggi telah lama diperkatakan. Walaupun kes-kes kematian yang dicatatkan adalah bermusim, tetapi bagi Rayer yang sering turun padang bergotong-royong bersama JKKK dan penduduk kawasan tersebut tidak pernah memandang enteng akan isu berkenaan.

Selain pemeriksaan tempat takungan air, penerangan tentang tatacara menguruskan premis agar bebas nyamuk turut diberikan. Malah, setiap premis yang dilawati diberi ‘Abate’ (temephos) iaitu sejenis serbuk organik yang digunakan untuk membunuh dan membantutkan pembiakan beberapa jenis serangga akua (aquatic insects) termasuk ‘dracunculiasis’ (sejenis cacing) dan nyamuk.

Menurut Rayer, beliau berharap agar JKKK umumnya dan penduduk Seri Delima khasnya dapat memberi kerjasama dalam menangani pembiakan nyamuk Aedes dan menjadikan Seri Delima sebagai kawasan ‘Denggi Sifar’.

Turut serta Pembantu Kesihatan Awam, Zaidi Alang dan Pekerja Rendah Awam, Thanabalan a/l Singaram.