MPSP seru prihatin kebersihan tandas awam

Oleh : ZULIANA AZIZ

SOON Lip Chee menunjukkan poster yang digunakan bagi kempen kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan tandas awam.
SOON Lip Chee menunjukkan poster yang digunakan bagi kempen kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan tandas awam.

SEBERANG PERAI – Penggredan semula tandas awam yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) merupakan kempen terbaru yang dijalankan bertujuan menaiktaraf tahap kebersihan tandas awam sedia ada di kawasan Seberang Perai.

Menurut Ahli Majlis MPSP, Soon Lip Chee, pelbagai aduan dan rungutan telah diterima mengenai isu kebersihan tandas awam yang kotor dan tidak memuaskan terutama di stesen minyak, kompleks makanan MPSP dan pasar awam.

Perkara ini sedikit sebanyak telah menjejaskan nama baik dan reputasi MPSP kerana semua tandas awam berasingan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut adalah di bawah seliaan kontraktor MPSP.

Oleh itu, kontraktor baru telah dilantik melalui tender terbuka dan sistem penggredan menggunakan kaedah penarafan bintang telah diperkenalkan bagi menyeragamkan semua tandas awam di Pulau Pinang.

Sementara itu, pemilik premis perniagaan seperti restoran dan kedai makan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebersihan tandas masing-masing.

Jika disiasat, MPSP berhak untuk mengeluarkan kompaun sehingga RM500 kepada pemilik jika didapati gagal memenuhi syarat dan mengabaikan kebersihan tandas.

Bersempena dengan Hari Tandas Sedunia yang disambut pada 19 November 2011, MPSP mengalu-alukan orang ramai supaya lebih prihatin dalam menjaga kebersihan tandas bukan sahaja di kawasan Seberang Perai, malah di seluruh dunia demi menjamin kesejahteraan hidup semua pihak.