ADUN seru masyarakat beri peluang kepada pencari kerja OKU

PANTAI JEREJAK – Tujuh syarikat terkemuka termasuk Intel Technology Sdn. Bhd. (Intel) mengambil bahagian dalam Karnival Pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) 2019 bertempat di Pusat Konvensyen SPICE Setia, Relau, di sini bagi membantu mereka yang kurang upaya mencari peluang pekerjaan.

Karnival kerjaya khusus untuk golongan OKU itu telah memasuki edisi keempat pada tahun ini dan dianjurkan oleh Pejabat Timbalan Ketua Mentri II, Prof. Dr. P. Ramasamy bersama-sama Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Modal Insan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees yang mewakili Ramasamy berkata, terdapat 487,904 OKU berdaftar dengan Kerajaan Negeri sehingga kini.

“Ramai di antara golongan OKU menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi dengan elaun bulanan sebanyak RM300 itu tidak mencukupi untuk mereka menyara keluarga.

M. Satees meramahi kakitangan salah sebuah sebuah syarikat yang mengambil bahagian dalam karnival kerjaya OKU 2019, baru-baru ini.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri memutuskan untuk membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

“Kita menyeru kepada setiap lapisan masyarakat untuk membuang tanggapan bahawa orang kurang upaya tidak boleh bekerja.

“Mereka juga sama seperti orang lain dan saya yakin mereka akan berjaya jika diberi ruang dan peluang,” katanya semasa merasmikan karnival berkaitan pada pada 7 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Satees memberitahu bahawa ramai dalam kalangan OKU merupakan pemegang ijazah atau diploma yang boleh menyumbang secara positif kepada masyarakat seperti Stephen Hawking yang merupakan seorang ahli fizik teori, pakar kosmologi dan penulis terkemuka England.

“Justeru, saya berharap lebih banyak syarikat swasta boleh mengupah golongan OKU sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka,”

Dalam pada itu, jurucakap Intel di pameran berkenaan berkata mereka mengalu-alukan pencari kerja OKU untuk memohon jawatan dalam syarikat multinasional berkenaan.

“Kami menganggap OKU sebagai pemohon kerja biasa dan mereka boleh diupah untuk bekerja di bahagian sumber manusia atau akaun selagi mana mereka mempunyai kelayakan dan pengalaman,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADUN