ADUN seru Pusat segera biaya kos tangani isu trafik sesak

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon menyeru Kerajaan Persekutuan segera menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi menangani isu kesesakan trafik di Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 20 November 2023.

“Pembinaan lebih banyak infrastruktur kritikal dijangka dapat mengurangkan kadar kesesakan lalulintas.

“Oleh itu, diharapkan Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi untuk negeri Pulau Pinang bagi membiayai projek menangani isu kesesakan trafik ke Sungai Dua, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan kawasan sekitar di Seberang Perai.

“Dalam pada itu, cadangan pembinaan ‘elevated highway’ amat dinantikan, dengan inisiatif sebegini ia sedikit sebanyak bakal memberi impak yang baik terhadap pembangunan sosioekonomi di negeri ini,” ujarnya.

17 November lepas, Tun Ahmad Fuzi dalam ucapannya di sini berkata permohonan pembiayaan Persekutuan berkaitan adalah wajar memandangkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan sebanyak RM295 bilion eksport negara adalah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Pelabuhan Pulau Pinang (RM56 bilion).

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN