SST dua peratus, Exco belum dapatkan reaksi lanjut pemegang taruh sektor perhotelan

Admin
WONG Hon Wai

GEORGE TOWN – Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata pihaknya belum mendapatkan maklum balas lanjut daripada para pemegang taruh berhubung isu kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dua peratus tahun depan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Persa­tuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MYBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel mengenai industri perhotelan terpaksa menaikkan harga jualan bagi menanggung Kos operasi yang semakin bertambah.

“Saya belum lagi mendapatkan maklum balas daripada (para pemegang taruh) hotel-hotel di Pulau Pinang tetapi (pelaksanaan SST dua peratus ini) mulai tahun depan (2024).

“Tetapi, saya katakan bahawa tujuan Kerajaan (Persekutuan) mengenakan dua peratus SST ini adalah untuk membiayai program-program sosial dan kebajikan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong kepada Buletin Mutiara di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 20 November 2023.

Dalam perkembangan berkaitan, Hon Wai berkata Kerajaan Negeri berhasrat mengekalkan fi hotel mengikut kadar terdahulu iaitu RM3 per bilik/malam bagi hotel empat dan lima bintang, serta RM2 per bilik/malam bagi hotel tiga bintang dan ke bawah termasuk asrama, hotel bajet, hotel dan rumah tumpangan di negeri ini.

“Hasil kutipan fi hotel ini akan dimanfaatkan untuk program mempromosikan sektor pelancongan negeri,” ujarnya.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Christina Toh dilaporkan berkata bahawa harga bilik hotel mungkin meningkat sebanyak 30 peratus tahun depan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD