ADUN sumbang kurma, pelitup muka kepada warga Buletin Mutiara

Goh Choon Aik menyerahkan sumbangan kurma kepada Pengarah Komunikasi, Yap Lee Ying.

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik hari ini menyumbangkan sejumlah 48 kotak buah kurma serta 48 kotak pelitup muka kepada warga Buletin Mutiara.

Menurut Choon Aik, pemberian sumbangan tersebut adalah sebagai menghargai usaha seluruh warga kerja Buletin Mutiara yang sentiasa membuat liputan berita sepanjang tahun bagi memastikan maklumat tepat sampai kepada penduduk negeri ini.

Selain itu menurut beliau, kesungguhan warga kerja Buletin Mutiara yang selalu turun ke hampir setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini terutamanya KADUN Bukit Tambun sangat dihargai.

Goh Choon Aik.

“Selain menulis berita mengenai isu-isu semasa, Buletin Mutiara juga selalu membuat liputan mengenai aktiviti-aktiviti ekonomi kreatif dan destinasi pelancongan menarik di KADUN Bukit Tambun yang diyakini mampu merangsang lagi sektor pelancongan domestik,” ujarnya.

Ditanya mengenai aktiviti di sepanjang bulan Ramadan, Choon Aik berkata beliau kini sibuk dengan aktiviti jelajah di seluruh KADUN Bukit Tambun bagi menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid-masjid dan surau.

“Selain itu, saya juga menganjurkan program kacau bubur lambuk dari surau ke surau pada setiap hari Sabtu dan Ahad untuk diedarkan kepada penduduk Muslim di sekitar Bukit Tambun,” jelasnya.

Mengenai program sempena Aidilfitri pula, beliau berkata setakat ini sebanyak 700 bakul makanan telah diedarkan bagi membantu mengurangkan beban penduduk yang akan menyambut hari raya tidak lama lagi.

“Jumlah tersebut masing-masing merangkumi 300 bakul makanan bagi KADUN Bukit Tambun dan 400 lagi untuk KADUN Sungai Acheh.

“(Dan) pada 16 Mei 2022, saya juga akan anjurkan program rumah terbuka Aidilfitri selepas dua tahun tidak diadakan susulan penularan pandemik COVID-19.

“Program ini akan diadakan di Kompleks Penjaja Simpang Ampat dari jam 3 hingga 5 petang,” katanya yang juga ADUN Angkat KADUN Sungai Acheh.