MBPP lulus cadangan pemasangan sembilan stesen pengecas e-bike percuma

Ar. Yew Tung Seang (kanan) semasa mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis MBPP dekat Dewan Bandaraya pagi tadi.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluluskan cadangan untuk menyediakan stesen pengecas secara percuma kepada pengguna motosikal elektrik (e-bike) di kawasan pulau.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata bahawa sebanyak sembilan stesen pengecas e-bike secara percuma akan dipasang sebagai projek rintis bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada penggunaan kenderaan rendah karbon.

“Pemasangan stesen pengecas e-bike secara percuma ini adalah selaras dengan visi MBPP untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar raya pintar dan hijau.

“Walaupun setakat ini kita (MBPP) belum mempunyai statistik lengkap mengenai jumlah pengguna e-bike di negeri ini, namun kita jangkakan penggunaan kenderaan jenis ini akan bertambah pada masa akan datang.

“Jadi untuk permulaan, kita pasang sembilan stesen pengecas secara percuma dahulu sebagai projek rintis ke arah mencapai bandar raya rendah karbon,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bil. 4 Tahun 2022 secara dalam talian sebentar tadi.

Terdahulu, Ahli Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas MBPP, Tan Seng Keat menyatakan bahawa cadangan pemasangan stesen pengecas e-bike secara percuma di kawasan pulau telah diluluskan dalam mesyuarat yang diadakan pada 13 April lalu.

Dalam perkembangan lain, Ahli Majlis MBPP, Wong Yuee Harng mengemukakan cadangan berkaitan penambahan 140 tempat letak kereta berbayar membabitkan kawasan perniagaan di bahagian pulau.

“Cadangan penambahan tempat letak kereta berbayar dengan waktu kawalan adalah melibatkan 40 petak di Jalan Tingkat Mahsuri, Tingkat Mahsuri 1 (10), Tingkat Mahsuri 2 (20) dan Tingkat Mahsuri 3 (30).

“Selain itu, tambahan parkir berbayar juga turut melibatkan 40 petak di Jalan Rajawali yang mana kesemua cadangan tambahan ini telah pun diwartakan pada 8 Jun 2017,” ujarnya dalam mesyuarat yang sama.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBPP