ADUN sumbang tong sampah, nasihat penduduk PPR agar tidak buang sampah merata-rata

Admin

BAGAN JERMAL – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee menyerahkan enam tong sampah beroda percuma untuk kemudahan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ampang Jajar di sini, semalam.

Soon Lip Chee menyerahkan enam tong sampah beroda untuk ditempatkan di ketiga-tiga blok PPR Taman Ampang Jajar.

Beliau berkata, sumbangan tersebut diharap dapat membantu mengatasi masalah pembuangan sampah di merata-rata tempat oleh segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab di kawasan perumahan berkenaan.

“Saya menerima banyak aduan berkaitan masalah pembuangan sampah yang dicampakkan dari tingkat atas yang mana keadaan ini boleh mengundang bahaya dan mengancam keselamatan nyawa serta harta benda penduduk.

“Saya telah mengkaji dan membuat perbincangan dengan Bahagian Perumahan (Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri) dan memutuskan untuk membekalkan enam tong sampah yang diletakkan di tiga blok PPR di sini supaya pendduk boleh membuang sampah di tempat sepatutnya.

“Saya juga berharap dengan adanya tong sampah ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah sampah di sini dan suka saya menasihati penduduk agar tidak membuang sampah di merata-rata tempat lagi selepas ini,” ujarnya pada sidang media berkaitan.

Keadaan di salah sebuah unit PPR Taman Ampang Jajar yang tidak berpenghuni dan menjadi tempat pembuangan sampah-sarap oleh sebahagian penduduk yang tidak bertanggungjawab.

Turut serta, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Khong Chee Seong; Pegawai Kanan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Ishan Osman; Pengerusi PPR Taman Ampang Jajar, Krishna Murthy serta komuniti setempat.

Dalam pada itu, Chee Seong menjelaskan bahawa sikap penduduk yang gemar membuang sampah di merata-rata tempat telah menyebabkan berlakunya wabak denggi di kawasan berkenaan.

Katanya, selain mengurangkan penghasilan sampah, penduduk juga harus menitikberatkan amalan pengasingan sisa di punca.

“Kita akan mohon pihak MPSP untuk mengadakan lebih banyak program kesedaran berhubung pengasingan sisa di punca di perumahan PPR bagi menggalakkan penduduk menguruskan sampah dengan cara yang betul,” katanya lagi.

Difahamkan, kira-kira enam hingga lapan tong sampah yang dihasilkan penduduk dikutip oleh kontraktor pembersihan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri di PPR Taman Ampang Jajar setiap hari.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS