Pendedahan jaga kesihatan perlu dalam usaha membendung risiko penyakit tidak berjangkit – Exco

Admin

PERAI – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin percaya bahawa rakyat di negara ini perlu menjadikan kesihatan sebagai perkara utama dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, kesedaran dan pengetahuan yang mencukupi mengenai penjagaan kesihatan diri merupakan kunci utama dalam mendidik rakyat terutamanya generasi pewaris.

Murid-murid tahun empat, lima dan enam SK Taman Inderawasih yang mengambil bahagian dalam program World Health Day.

“Kesedaran mengenai penjagaan kesihatan diri masih rendah dalam kalangan rakyat di negara ini, oleh itu, pendedahan mengenainya perlu dalam usaha membendung sikap mudah alpa serta tidak menitikberatkan amalan pemakanan masing-masing.

“Kesan tidak menjaga amalan pemakanan boleh menyebabkan individu terdedah kepada risiko penyakit tidak berjangkit seperi kencing manis, kanser, tekanan darah tinggi dan sebagainya.

“(Dan) golongan kanak-kanak juga tidak terlepas daripada ancaman ini terutamanya masalah obesiti yang mana negara kita kini didapati mempunyai penduduk paling ramai obes di rantau Asia,” ujarnya dalam teks ucapan yang dibaca oleh Pegawai Khas, Hermy Izwan Saidin pada program World Health Day dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Inderawasih, di sini, semalam.

Dalam teks ucapan tersebut, Afif turut memuji langkah pihak kolej swasta, Island College of Technology kerana melaksanakan program tersebut sebagai usaha meningkatkan kesedaran umum berhubung penjagaan kesihatan diri.

Selain pameran kesihatan, antara aktiviti lain turut dijalankan sempena program berkenaan adalah pertandingan menyediakan makanan sihat serta senaman yang melibatkan murid-murid Tahun 4 hingga 6.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS