ADUN Sungai Pinang bantu mangsa keganasan rumah tangga teruskan kelangsungan hidup

Admin

SUNGAI PINANG – Sikap prihatin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dalam membantu mangsa keganasan rumah tangga membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

AMIDAH BEGUM SD MOHAMMED ABDULLAH, 46, antara salah seorang mangsa keganasan rumah tangga yang telah menerima bantuan daripada Siew Khim sejak beberapa tahun lalu.

Amidah Begum menunjukkan beberapa laporan perubatan daripada pihak hospital selepas menjalani rawatan susulan akibat keceradaan yang dialami.

Ketika ditemui di kediaman beliau dekat Mutiara Idaman 1, Amidah Begum tidak lokek berkongsi mengenai sejarah hitam pernah didera sehingga mengalami kecederaan saraf tunjang.

Selain kecederaan fizikal, Amidah Begum memberitahu bahawa dia juga berdepan dengan masalah tekanan mental sehingga memerlukan rawatan khusus daripada pakar psikiatri sejak lebih lapan tahun lalu.

“Saya mengalami kecederaan saraf tunjang pada tahun 2012 dan sehingga kini saya terpaksa mengambil steroid untuk mengelakkan daripada terkena strok.

“Selain itu, saya juga terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan di samping ubat-ubatan yang lain dek masalah asma yang saya hadapi,” katanya yang berstatus ibu tunggal  sejak tahun 2015.

Amidah Begum.

Tambah Amidah Begum, kecederaan yang alaminya menyebabkan dia tidak mampu untuk bekerja dan hanya bergantung harap kepada bantuan daripada pihak-pihak tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat zakat dan pertubuhan bukan kerajaan, Buddhist Tzu Chi Merits Society Malaysia.

“Oleh itu, segala perbelanjaan untuk membeli makanan dan minuman, bayaran sewa rumah, utiliti dan pendidikan anak-anak semuanya menggunakan wang bantuan yang saya terima.

“Saya juga bersyukur kerana YB (Lim Siew Khim) begitu mengambil berat terhadap masalah yang saya hadapi dan tidak putus-putus menyalurkan bantuan seperti bekalan makanan, kelengkapan sekolah dan lain-lain.

“Selain bantuan bakul makanan, pejabat YB juga menyumbangkan sebuah laptop untuk membantu anak-anak saya meneruskan pembelajaran di rumah,” katanya yang merupakan ibu kepada dua orang anak.

Difahamkan, anak perempuan sulung Amidah Begum kini sedang melanjutkan pelajaran di tingkatan enam manakala anak perempuan bongsunya pula masih di sekolah rendah.

Lim Siew Khim.

Bercerita lanjut, Amidah Begum menegaskan bahawa kecederaan fizikal yang dialaminya tidak menghalang beliau untuk menyumbang tenaga kepada masyarakat.

“Walaupun saya tidak mampu menyumbang dalam bentuk wang ringgit, tetapi saya cuba sedaya upaya untuk menyumbang tenaga yang ada bagi membantu masyarakat sekeliling.

“Oleh itu, saya buat keputusan untuk menjadi salah seorang sukarelawan dalam program Mutiara Foodbank yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya lagi.

Sementara itu, Siew Khim memberitahu bahawa kes penderaan dan keganasan rumah tangga semakin meningkat sejak penularan pandemik COVID-19 terutamanya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Justeru, beliau menasihati golongan wanita untuk lebih berani tampil ke hadapan dan membuat laporan sekiranya menjadi mangsa penderaan.

Dalam pada itu, Siew Khim turut menasihati golongan wanita supaya terus kuat dan menjadi lebih berani dalam mendepani cabaran masa kini.

“Pada masa sekarang, bebanan yang terpaksa dipikul oleh golongan wanita kadang-kala lebih daripada orang lelaki terutamanya apabila dia merupakan seorang ibu tunggal.

“Oleh itu, golongan wanita perlu lebih berdikari dan berani tampil ke hadapan untuk membela diri sekiranya menjadi mangsa penderaan rumah tangga.

“Selain itu, masyarakat sekeling terutamanya jiran tetangga perlu memainkan peranan dengan memberikan sokongan kepada mereka yang menjadi mangsa penderaan ini,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas menyampaikan bantuan makanan kepada Amidah Begun, semalam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING