GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri disyorkan memperkukuh sistem pemakluman rasmi dengan menghantar notifikasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada setiap penerima Program i-Sejahtera sebaik sahaja bantuan dikreditkan ke akaun masing-masing.
Cadangan itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan, ketika membahaskan Belanjawan 2027 Negeri Pulau Pinang pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini, hari ini.
Kumaresan berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan golongan sasar mengetahui dan memahami komitmen besar Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya ketika berdepan cabaran kos sara hidup.
Selain itu, beliau turut menyambut baik iltizam pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, yang mengekalkan peruntukan sebanyak RM58 juta bagi program kebajikan tersebut, melibatkan golongan warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) serta kumpulan lain yang layak.
“Peruntukan RM58 juta setahun bukanlah satu jumlah yang kecil, ia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Kumaresan menjelaskan bahawa meskipun puluhan juta ringgit disalurkan setiap tahun, masih terdapat penerima yang tidak menyedari sepenuhnya usaha Kerajaan Negeri serta nilai bantuan yang diterima berikutan ketiadaan pemakluman secara terus.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan penambahbaikan menerusi pengukuhan sistem pemakluman rasmi.
“Setiap penerima patut menerima notifikasi SMS rasmi sebaik sahaja bantuan dikreditkan ke akaun mereka,” ujarnya ketika mengemukakan syor tersebut kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz, sebentar tadi.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT