ADUN teruskan pemberian bantuan persiapan kembali ke sekolah

DATUK KERAMAT – Seramai 500 murid dari tujuh kawasan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) KADUN Datuk Keramat bantuan persiapan kembali ke sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo berkata, baucar bernilai RM60 itu diberikan kepada murid-murid terpilih daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

JAGDEEP Singh Deo (kanan) menyampaikan baucar tunai kepada salah seorang waris penerima bantuan persiapan ke sekolah.

Menurutnya, program pemberian bantuan persiapan kembali ke sekolah itu merupakan salah satu inisiatif kecemerlangan pendidikan yang dilaksanakannya sejak 10 tahun lalu.

“Ini tahun kesepuluh bantuan persiapan kembali ke sekolah diadakan di kawasan ini dengan kerjasama JKKK di Datuk Keramat bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan membuat persiapan persekolahan.

“Tumpuan pastinya kepada keluarga yang berpendapatan rendah dan mempunyai anak yang ramai,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkaitan di Komtar, pagi ini.

Jagdeep yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Negeri dalam pada itu turut menasihati penerima agar mendengar nasihat ibu bapa dan para guru sekiranya ingin berjaya dalam pelajaran.

Malah, katanya, hanya melalui pendidikan mereka dapat membantu mengubah nasib keluarga pada masa hadapan.

SEBAHAGIAN penerima dan waris penerima memberi pose istimewa sejurus majlis berkaitan di sini, tadi.

Difahamkan, Jagdeep memperuntukkan sejumlah RM30,000 tahun ini, iaitu peruntukan tertinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Tambahan peruntukan ini kerana kita memperluaskan kategori penerima dengan menambah jumlah (penerima) setiap tahun.

” (Dan) tahun ini, seramai 95 orang penghuni Ashrama Ramakrishna turut menerima bantuan baucar ini,” jelasnya.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD