ADUN teruskan tradisi, agih 1,000 pek bantuan keperluan asas sempena Ramadan

Admin

DATUK KERAMAT – Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat tetap komited mengagihkan 1,000 pek bantuan barangan keperluan asa walaupun negara sedang dilanda pandemik COVID-19.

 

ADUNnya, Jagdeep Singh Deo berkata, bantuan-bantuan tersebut sudah mula diedarkan hari ini ke seluruh kawasan Datuk Keramat.

 

“Selaku ADUN Datuk Keramat yang berkhidmat lebih 10 tahun, setiap kali Ramadan saya akan membantu mereka yang memerlukan melalui program buka puasa, pemberian hamper setiap tahun dan semua orang pun tahu.

 

“Namun demikian kerana ‘keadaan luar biasa’, tahun ini kita tidak boleh anjurkan majlis buka puasa kerana ini akan mengakibatkan orang berkumpul dan tidak mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

“Walau bagaimanapun, kita akur bahawa ada golongan tertentu yang memerlukan, jadi untuk meneruskan pemberian 1,000 hamper di sekitar Datuk Keramat yang akan diagihkan bersama-sama pasukan saya,” ujar Jagdeep ketika memulakan pengagihan tersebut pagi ini dekat Masjid Jamek Hashim Yahya, Jalan Perak.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan Pengerusi Kariah Masjid Jamek Hashim Yahya, Abdul Razak Mansor.

 

Jagdeep yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa memberitahu bahawa antara kawasan yang akan diagihkan termasuklah Jalan York, Taman Free School, Kebun Lama, Kampung Makam, Kampung Wan Chik Ariffin, Jalan P.Ramlee, Kampung Dodol dan Jalan Gopeng.

 

“Kesempatan sama, kepada kawan-kawan muslimin dan muslimat saya yang akan menunaikan ibadah puasa, selamat menunaikan ibadah puasa dan kita akan terus turun secara berkala untuk beri bantuan sepanjang Ramadan,” jelasnya lagi.

 

 

Dalam pada itu, Rayer ketika berucap memberitahu bahawa pasukannya telah mengagihkan 210 hamper kepada kawasan DUN Datuk Keramat, baki 200 lagi akan diedarkan sebelum tiba Ramadan.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI