Fitnah media sosial: Setiausaha Politik Ketua Menteri seru tindakan segera pihak polis

Admin

GEORGE TOWN – Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng hari ini membuat satu laporan polis berhubung tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak memuat naik kenyataan dipercayai berunsurkan fitnah terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow. 

 

Laporan polis dibuat di Balai Polis Jalan Petani kira-kira jam 10:50 pagi tadi. 

 

Menurut Lai Heng, laporan polis dibuat terhadap individu atau pihak yang menyebarkan suatu hantaran (posting) melalui platform media sosial yang diterima menerusi WhatsApp

 

“Hantaran tersebut antara lain memaparkan gambar Ketua Menteri yang tertera sebagai sebahagian daripada artikel dalam talian New Straits Times (NST Online) bertarikh 17 April 2020 bertajuk ‘Covid-19 in Penang under control, no need for EMCO‘,” ujarnya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dekat sini. 

 

TEH Lai Heng (kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat pagi ini. Turut sama, Daniel Gooi Zi Sen (kanan). 

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen. 

 

Menurut Lai Heng, sebahagian hantaran tersebut memaparkan ayat sebagai dipetik, “kami mampu tangani penularan wabak covid dgn pantas drpd kerajaan pusat 19 tak perlu perketatkan perintah kawalan pergerakan maka gesa tentera dan polis berundur dari pulau pinang dan penduduk pulau pinang boleh menjalani kehidupan harian seperti biasa tetapi dgn langkah pencegahan dan jarak sosial berjauhan apapun kami takkan tunduk kpd kerajaan pusat di bawah pimpinan muhyiddin perikatan nasional jelas ketua menteri pulau pinang phdap.”

 

Adalah ditegaskan bahawa Y.A.B. (Ketua Menteri) tidak pernah pada bila-bila masa membuat kenyataan tersebut. 

 

“Malah, Y.A.B. dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menghargai dedikasi dan pengorbanan pihak-pihak frontliners (barisan hadapan) seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan keselamatan warga Pulau Pinang terjamin dalam tempoh krisis penularan wabak COVID-19 ini. 

 

“Y.A.B. juga telahpun menafikan hantaran tersebut sebagai palsu di akaun Facebook beliau (@ChowKonYeow) pada 18 April lalu,” ulasnya lanjut. 

 

Mengulas mengenai kenyataan tersebut, Lai Heng yang juga ADUN Komtar memaklumkan bahawa ia boleh menghasut masyarakat awam negara ini untuk tidak menghormati pelaksanaan tugas oleh pihak PDRM dan ATM serta arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa tempoh krisis kesihatan melanda negara ini. 

 

Kenyataan tersebut boleh menyebabkan ketegangan hubungan antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Kerajaan Persekutuan serta dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. 

 

“Kenyataan tersebut juga boleh menyebabkan prasangka buruk terhadap Y.A.B. dan antara lain merendahkan kredibiliti Y.A.B. sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, ADUN, Ahli Parlimen, pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) serta individu daripada pandangan masyarakat awam. 

 

“(Oleh itu), saya menggesa pihak polis untuk bertindak dengan segera terhadap mana-mana pihak yang memuat naik atau menyebarkan kenyataan fitnah tersebut. 

 

“Saya memfailkan laporan ini untuk tindakan segera polis di bawah seksyen-seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 terhadap mereka yang terbabit, sama ada secara bersendirian ataupun bersesama,” tegasnya yang mahu tindakan sewajarnya diambil segera. 

 

Difahamkan, wartawan berkaitan juga dipanggil untuk memberikan keterangan pagi ini. 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : CHAN KOK KUAN