ADUN turun padang gotong-royong

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 

R.S.N. RAYER (bertopi) turun padang menyertai JKKK Taman Tun Sardon bergotong-royong bagi membersihkan sistem saliran yang tersumbat di sini.
R.S.N. RAYER (bertopi) turun padang menyertai JKKK Taman Tun Sardon bergotong-royong bagi  membersihkan sistem saliran yang tersumbat di sini.

SERI DELIMA – Dalam usaha menjadikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Delima sentiasa bersih dan bebas denggi, penduduk sekitar diseru menjaga kebersihan serta menyahut seruan Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang Bersih dan Hijau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer berkata, dalam merealisasikan usaha tersebut, beliau telah mengadakan perbincangan dan dialog yang melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Tun Sardon berkaitan isu tahap kebersihan serta sistem saliran di kawasan tersebut.

“Saya telah menerima rungutan daripada beberapa penduduk sekitar Taman Tun Sardon dan saya sendiri telah turun padang untuk berada di kawasan tersebut bagi melihat sendiri keadaan kawasan yang berkenaan.

“Walaupun sejak lapan bulan lalu, kita mengadakan beberapa siri gotong-royong, namun, terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah dan sisa makanan ke dalam longkang,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, beliau akan menggerakkan JKKK di kawasan tersebut untuk mengadakan gotong-royong setiap minggu demi memastikan kawasan tersebut bersih dan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Saya rasa salah satu cara yang wajar adalah menegur dengan baik sesiapa sahaja yang dilihat membuang sampah sesuka hati,” tegas beliau.