Tahun ke-8 sambut Bulan-bulan Al-Quran simbol KN memartabatkan Islam – Rashid

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Kerajaan Pulau Pinang yang digambarkan anti Islam sekali lagi melancarkan Sambutan Bulanbulan Al-Quran Peringkat Negeri Kali Ke-8 dengan penganjuran pelbagai program sepanjang bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan.

Ketika berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon memberitahu, saban tahun, penganjuran program berkaitan adalah demi memartabatkan lagi kedudukan Islam dan umatnya sebagaimana dijamin dalam perlembagaan.

“Setiap tahun, pelbagai program dilaksanakan sepanjang tiga bulan ini demi menyemai dan menanam rasa cinta masyarakat yang mendalam terhadap Al-Quran,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim yang juga ADUN Batu Maung.

Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas sendiri merasmikan majlis pelancaran tersebut, serentak dengan peluncuran aplikasi e-Kemusykilan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang.

ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Ketua Hakim Syarie Negeri, Dato’ Abdul Walid Abu Hassan dan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man antara pemimpin utama Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis berkenaan.

Abdul Malik ketika berucap merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Pejabat Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta beberapa pihak lain yang terlibat dalam penganjuran program-program pada kali ini.

Sesi tazkirah pada malam berkaitan disampaikan oleh Ustaz Elyas Ismail, selebriti agama rancangan Tanyalah Ustaz terbitan TV Al-Hijrah.

Berikut adalah antara acara utama sepanjang Program Sambutan Bulan-bulan Al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang 1438H/2017 :-

• Program Hafazan Dan Talaqqi Al-Quran bermula 1 April hingga 11 Jun 2017 (9 pagi – 12 tengah hari) di Masjid Negeri Pulau Pinang. Terhad 150 orang sahaja. Hubungi 04 – 828 2212 untuk pendaftaran.

• Majlis Bacaan Kitab Tafsir Surah Yassin Karangan Sheikh As-Sobuni pada 11 Jun (pagi) dan 12 Jun (petang) di Masjid Negeri.

• Program Tahsin Al-Quran bermula 8 pagi hingga 1 petang di Masjid Daerah Barat Daya pada 8 April; di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (15 April); dan Masjid Abdullah Fahim Kepala Batas (29 April).

• Pembukaan gerai Pameran bertema AlQuran: Islam Rahmatun Lil Alamin di pusat membeli-belah dan tumpuan awam selama tiga bulan.

• Penganjuran Program Celik Al-Quran membabitkan pelajar-pelajar sekolah.

• Kelas Bahasa Al-Quran (bahasa Arab) dan Tulisan Jawi mulai 9 pagi hingga 1 petang di Maahad Tahfiz terpilih.

• Seminar Al-Quran – “Memahami Konsep Jihad: Persepsi dan Realiti” 20 Mei (8 pagi hingga 1.30 petang) di Hotel Seri Malaysia Kepala Batas. Hubungi 04 – 263 2975 untuk pertanyaan lanjut dan urusan pendaftaran.