AES tingkat produktiviti perniagaan golongan perlu

Admin

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan program Agenda Ekonomi Saksama (AES) sejak tahun 2009 untuk membantu golongan miskin tegar keluar daripada kesukaran hidup masing-masing.

Walaupun bantuan tersebut adakalanya dilihat kecil bagi sesetengah orang namun kepada penerima pula, ia cukup bermakna kerana dapat membantu meringankan beban kehidupan mereka.

Asiah Nazri sedang menyiapkan kuih keria yang ditempah oleh pelanggan tetapnya.

Pandangan tersebut dizahirkan oleh salah seorang penerima bantuan AES bagi tahun 2021, ASIAH NAZRI, 59, yang telah menerima bantuan berbentuk peralatan perniagaan di bawah program tersebut.

Menurut Asiah, beliau telah menerima bantuan berupa pengisar dan pengadun yang merupakan antara peralatan penting untuk menghasilkan produk perniagaannya iaitu karipap sejuk beku.

“Saya diberitahu bahawa Kerajaan Negeri ada menyediakan bantuan AES untuk membantu orang-orang susah seperti saya melalui pengerusi Majlis Pengerusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Sri Rambai.

“Beliau kemudiannya membawa saya ke pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, YB Chong Eng untuk urusan permohonan.

“Alhamdulillah… tidak sampai setahun saya telah menerima bantuan berupa pengisar dan pengadun yang dianggarkan berharga kira-kira RM3,000,” jelasnya yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.

Difahamkan, anak sulung Asiah kini sudah bekerja manakala anak kedua pula sedang melanjutkan pelajaran di University of Michigan dekat Amerika Syarikat dan anak ketiga (bersekolah di sekolah menengah).

Pelbagai jenis kuih-muih yang dijual bawah jenama Teh Kitchen.

Tambah Asiah, dengan bantuan tersebut, perniagaan karipap sejuk beku bawah jenama Teh Kitchen yang diusahakan bersama suami, SHAIK ABDUL RAZAK SHAIK ABDUL AZIZ, 64, sejak 20 tahun lalu kini mampu memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Walau bagaimanapun menurut beliau, kadangkala permintaan pelanggan terpaksa ditolak sekiranya terlalu banyak dek masalah ‘slip disk’ dialaminya sejak beberapa tahun lalu yang menyebabkan pergerakan beliau menjadi terbatas.

“Sekarang kerja-kerja untuk menghasilkan karipap menjadi lebih mudah berbanding sebelum ini kerana saya hanya membuatnya secara manual sahaja, jadi karipap yang dihasilkan tidak banyak.

“Dengan kedua-dua peralatan ini, saya mampu meningkatkan jumlah jualan karipap lebih 200 biji sehari tetapi kalau terlalu banyak kadangkala saya terpaksa tolak permintaan pelanggan kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Asiah memberitahu bahawa penularan pandemik COVID-19 tidak terlalu menjejaskan perniagaannya kerana permintaan terhadap karipap sejuk beku yang dihasilkan beliau sentiasa ada.

Suami Asiah turut membantu menyiapkan tempahan pelanggan

“Walaupun pandemik COVID-19 menjejaskan banyak pihak, tetapi syukur perniagaan karipap saya masih mendapat permintaan tinggi dalam tempoh ini terutamanya apabila ada majlis kenduri dan perkahwinan,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan jangka panjang, beliau memberitahu bahawa keadaan kesihatan beliau serta suami yang tidak mengizinkan kini menyebabkan perniagaannya sukar untuk dikembangkan ke peringkat seterusnya.

“Jika sekiranya ada rezeki dan kesihatan saya serta suami semakin baik, insya-Allah kami memang ada perancangan untuk memperluaskan lagi pasaran untuk karipap sejuk beku ini tetapi ia bergantung kepada keadaan,” ulasnya.

Dalam pada itu, Shaik Abdul Razak ketika ditemui di rumahnya dekat Lorong Binjai 9, Bagan Lalang menzahirkan ucapan terima kasih kepada ADUN kawasan berkaitan kerana prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi beliau sekeluarga.

“Tidak ada apa yang boleh saya katakan selain ucapan terima kasih kepada YB Chong Eng dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang begitu prihatin terhadap nasib kami.

Pengadun antara peralatan yang diterima Asiah di bawah program AES Kerajaan Negeri Pulau Pinang

“Bantuan yang kami peroleh ini memang sangat membantu terutamanya untuk menghasilkan inti karipap yang perlu diadun dalam kuantiti yang banyak,” katanya sambil berharap agar keluarganya mampu keluar daripada kesusahan hidup apabila dua anaknya tamat pengajian dan mendapat pekerjaan kelak.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Taman Sri Rambai 2/3/4, Tan Cheng Yee ketika dihubungi memberitahu bahawa beliau mengambil keputusan membantu Asiah untuk mengembangkan lagi perniagaan melalui bantuan AES.

“Saya cuma mahu membantu Puan Asiah dan suami kerana mereka mempunyai masalah daripada segi kewangan untuk meneruskan perniagaan dan tambahan pula keadaan kesihatan mereka tidak baik,” ujarnya.

Difahamkan, selain karipap, Asiah juga turut menghasilkan beberapa kuih-muih sejuk beku yang lain seperti onde-onde, samosa, cucur badak dan lain-lain tetapi hanya dalam kuantiti yang sedikit.

Setiap paket kuih-muih mengandungi 16 biji dijual pada harga RM6 hingga RM7.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan karipap sejuk beku keluaran Teh Kitchen boleh hubungi nombor di talian, 017 – 467 9266.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS