Daging arnab bukan makanan mahal – Muhammad Fadhil

Admin

PENTERNAKAN arnab khususnya arnab pedaging di Pulau Pinang dilihat semakin popular dan permintaan terhadap makanan protein tersebut juga mula meningkat.

Walau bagaimanapun, secara umumnya penternakan arnab pedaging secara komersial masih lagi kurang diusahakan berbanding haiwan ruminan lain seperti lembu, kambing dan lain-lain.

Hal ini mungkin disebabkan arnab dianggap sebagai haiwan lincah dan comel sehingga manusia tidak sanggup untuk menjadikannya sebagai sumber makanan protein yang berkhasiat.

Arnab pedaging jenis New Zealand White menjadi pilihan untuk diusahakan oleh Muhammad Fadhil.

Bagi yang tidak tahu, di sebalik kelincahannya sebagai haiwan belaan, haiwan berkaitan sebenarnya mempunyai potensi besar untuk dikembangkan menjadi sebuah industri penternakan arnab pedaging yang dapat menjana keuntungan.

MUHAMMAD FADHIL MOHAMAD, 29, antara individu yang berani menongkah arus dengan mengusahakan perternakan arnab pedaging secara komersial kerana keyakinan tinggi terhadap industri berkenaan yang dilihat mampu memberikan pulangan lumayan.

Anak muda kelahiran Pulau Pinang tersebut pada awalnya bekerja di sebuah kilang, sebelum mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam industri penternakan arnab secara serius pada Februari 2020.

Ketika ditemui Buletin Mutiara, Muhammad Fadhil memberitahu bahawa lebih setahun lalu, beliau sanggup menunggang motosikal sendirian ke Kelantan semata-mata untuk mendalami ilmu berkaitan penternakan arnab.

Selain itu menurutnya, beliau juga pernah mengikuti kursus sama di Selangor serta mempelajari mengenai selok-belok penternakan arnab dengan beberapa profesional serta penternak lain yang telah berjaya.

“Pada mulanya, saya hanya membela 12 ekor arnab baka New Zealand White iaitu 10 ekor betina dan jantan (2) selepas menyiapkan kandang di belakang rumah dengan kos sebanyak RM10,000 menggunakan modal sendiri.

“Selepas itu, saya cuba biakkan arnab-arnab ini meliputi tempoh masa tertentu dan apabila masuk bulan ketiga ia telah membiak dengan sihat.

Daging arnab perap yang dijual bawah jenama Bambam Frozen.

“Alhamdulillah, arnab yang saya bela kini semakin membiak dan jumlahnya melebihi 200 ekor yang mana telah berjaya dijual di pasaran dalam bentuk daging perap serta sejuk beku,” katanya ketika ditemui di kediamannya dekat Kampung Paya Keladi, Seberang Perai Utara (SPU) pada 18 Mac lalu.

Muhammad Fadhil dalam pada itu turut memberitahu bahawa tempoh matang bagi seekor arnab yang sesuai untuk disembelih adalah dalam masa tiga bulan atau apabila beratnya telah mencecah dua kilogram (kg).

“Apabila berat arnab mencapai dua kilogram, ia perlu disembelih untuk mendapatkan daging yang elok, dan sekiranya kita kurangkan hari (sembelih) ia akan memberi kesan kepada keadaan daging.

“Walau bagaimanapun, apabila cukup tempoh 90 hari, kita perlu sembelih arnab ini kerana jika dibiarkan lebih lama ia akan memakan lebih banyak kos terutamanya daripada segi bekalan makanan,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, arnab yang disembelih akan dijual kepada pelanggan sama ada dalam bentuk daging segar, daging sejuk beku dan juga daging perap.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa daging perap yang dijual adalah bersama dengan sos segera di bawah jenama Bambam Frozen untuk mengoptimumkan lagi perniagaan ternakan arnab yang diusahakan.

“Dalam tempoh seminggu, saya berjaya menjual minimum 20 ekor arnab dan sekiranya permintaan terlalu tinggi, saya terpaksa mengambil bekalan daging arnab tambahan daripada pembekal dari luar Pulau Pinang.

“Daging arnab sejuk beku seberat sekilogram dijual dengan harga sekitar RM35, dan produk ini dipasarkan di sekitar Pulau Pinang serta selatan Kedah dengan sokongan daripada 11 ejen jualan.

“Bagi arnab perap pula, secara purata saya mampu menghasilkan kira-kira 50 paket sehari dan jumlah tersebut adalah bergantung kepada permintaan semasa.

Lebih 200 ekor arnab dibela dalam kandang yang dibina di halaman rumah Muhammad Fadhil.

“Daripada segi jualan pula, paling tinggi yang pernah saya capai setakat ini adalah sebanyak 30 paket dalam tempoh masa tiga hari selain mendapat permintaan daripada beberapa pelanggan tetap,” ulasnya yang juga bertugas sebagai penyampai radio sambilan di MutiaraFM.

Ditanya mengenai keadaan perniagaan beliau pada masa pandemik COVID-19, Muhammad Fadhil memberitahu bahawa cabaran utama adalah peningkatan ketara harga bekalan makanan dedak selain stoknya yang terhad.

“Jika sebelum ini harga dedak boleh didapati dengan harga RM12 sekilogram tetapi kala pandemik ini harganya mencecah RM17.

“Tambahan pula, seekor arnab secara puratanya memerlukan makanan sehingga 100 gram sehari dan saya terpaksa menyediakan sehingga lebih 500kg dedak dalam tempoh sebulan,” jelasnya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan perniagaan yang diusahakan itu, Muhammad Fadhil memberitahu bahawa beliau sedang merancang untuk mempelbagaikan lagi produk jualan seperti sate dan bebola arnab sejuk beku.

“Selain itu, impian saya adalah untuk membuka sebuah kedai khusus untuk memproses arnab tetapi buat masa ini masih terdapat kekangan daripada segi lokasi premis.

“Saya juga menyasarkan untuk mengeluarkan sebanyak mungkin daging arnab supaya ia dapat menjadi sumber makanan bukan sahaja untuk golongan berpendapatan sederhana (M40) tetapi juga mampu dinikmati oleh mereka yang berpendapatan rendah (B40).

“Kalau boleh saya juga mahu menghapuskan stigma dalam kalangan masyarakat kita yang menganggap daging arnab sebagai makanan yang mahal dan sukar untuk didapati,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS