Agamawan dinasihat berhati-hati beri pandangan mengenai vaksin COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menasihati para agamawan supaya lebih berhati-hati dalam mengemukakan sebarang pandangan mengenai vaksin COVID-19.

Beliau berkata, sebarang pandangan yang dikemukakan seseorang di luar bidang ilmu dan kepakarannya dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan serta salah tanggapan dalam kalangan masyarakat terutamanya orang awam.

“Pihak yang mempunyai kepakaran khusus mengenai vaksin COVID-19 adalah mereka yang berkecimpung dalam bidang perubatan seperti doktor, pengamal perubatan, ahli farmasi dan sebagainya.

“(Dan) seorang agamawan, kita boleh beri pandangan tentang hukum-hakam agama tetapi ia mestilah berdasarkan kajian terperinci lebih-lebih lagi apabila pandangan adalah berkaitan isu-isu semasa yang kita tidak temui penyelesaian dalam kitab-kitab lama atau klasik.

“Oleh itu, saya suka nasihatkan golongan agamawan supaya berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan dalam bidang yang kita tidak ada ilmu dan kepakaran mengenainya,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui sejurus majlis penyampaian sumbangan program pengimarahan masjid dan Ehya’ Ramadan di sini pagi ini.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, semua pihak perlu menerima keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang mengambil ketetapan mengharuskan penggunaan vaksin COVID-19.

“Keputusan ini dicapai melalui muzakarah berdasarkan taklimat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disokong oleh kajian terperinci oleh pakar-pakar penyelidik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Pihak KKM juga menegaskan bahawa vaksin COVID-19 tidak mengandungi elemen haiwan dan sekiranya kita mengandaikan vaksin ini terkandung elemen haiwan sekalipun, ia sudah menjadi halal atau bersih daripada najis melalui proses istihalah atau transformasi zat.

“Selain itu, perkara tersebut juga telah ditegaskan oleh beberapa ulama semasa seperti Yusuf al-Qaradawi dan juga lajnah-lajnah fatwa di Mesir, Arab Saudi serta lain-lain,” tegasnya lagi.

Justeru, Wan Salim turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan pandangan dikemukakan oleh kumpulan anti vaksin yang kebanyakannya tidak mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD