Agenda pemerkasaan wanita Pulau Pinang buka mata lain-lain pihak

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa Dasar Keterangkuman Gender telah menjadi inspirasi dan model dalam mempertingkatkan prinsip demokrasi yang menjadi teras utama kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

Menurut beliau , perkara tersebut adalah selaras dengan agenda Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang turut menekankan pemerkasaan rakyat tanpa mengira gender dalam pembangunan negeri.

 

“Dasar Keterangkuman Gender telah diguna pakai bagi memastikan wujudnya keseimbangan gender, yakni nisbah 40:40:20 atau 40 peratus wanita, 40 peratus lelaki dan 20 terbuka kepada wanita serta lelaki yang layak supaya perspektif dan keperluan dua gender tersebut diambil kira dalam membuat keputusan.

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah-langkah intervensi untuk memacukan aspirasi dalam mencapai kesaksamaan gender.

 

“Selaku Ketua Menteri Pulau Pinang, saya sentiasa komited dalam mendokong usaha-usaha yang dijalankan bagi merapatkan jurang gender berkaitan,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Sidang Wanita 2021 yang dijalankan melalui aplikasi Zoom di sini tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Ketua Pegawai Ekskutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.

 

Tambah Kon Yeow, kejayaan kumpulan perintis seramai 40 individu pada tahun lalu turut menjadi contoh kepada negeri lain untuk mewujudkan platform sama dalam membawa isu-isu wanita.

 

“Saya telah dimaklumkan oleh PWDC bahawa Kerajaan Negeri Negeri Sembilan melalui Power House Wanita Gemilang (PH GEM) telah melancarkan Sidang Wanita Negeri Sembilan.

 

“Model Sidang Wanita Pulau Pinang akan digunakan oleh Negeri Sembilan, dan PWDC juga telah dijemput untuk mengadakan sesi perkongsian pengalaman serta pemindahan kepakaran berkenaan yang mana sekaligus membuktikan bahawa agenda pemerkasaan wanita negeri kita telah membuka mata dan mendapat tempat di lain-lain lokasi,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Chong Eng dalam pada itu memberitahu, Sidang Wanita diperkenalkan untuk mencungkil bakat para pemimpin wanita tanpa mengira latar belakang sama ada dalam kalangan pemimpin komuniti, korporat, kerajaan, ahli parti politik, usahawan mahupun suri rumah.

 

“Pada hari ini, seramai 15 fasilitator akan menilai 275 peserta bagi memilih 100 individu terbaik.

 

“Prosesnya bukan mudah kerana ia dijalankan secara dalam talian, namun buat para peserta, ambillah peluang ini untuk menonjolkan bakat kepimpinan yang ada dalam diri anda,” ulasnya yang juga ADUN Padang Lalang.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : CHAN KOK KUAN