Agih 20 unit lagi komputer riba baharu bantu proses pembelajaran

Admin

BATU UBAN – Usahasama Pejabat Parlimen Bayan Baru bersama-sama CAPE Technology membolehkan 20 lagi pelajar terpilih menerima komputer riba baharu dengan nilai keseluruhan RM30,000.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin turut sumbangan itu merangkumi lima unit komputer riba terpakai yang dibaik pulih setaraf unit baharu.

“Kita menerima 280 permintaan namun tidak dapat semua kita penuhi, (maka) kita bantu yang mana betul-betul memerlukan dengan kriteria tertentu yang ditetapkan.

“Antara kriteria dikenal pasti untuk penerimaan adalah penerimah Bantuan Sara Hidup (BSH), jumlah adik-beradik yang berkongsi peralatan, akan menghadapi peperiksaan dan temu bual di rumah.

“Justeru, secara keseluruhannya Pusat Khidmat Bayan Baru sudah mengagihkan 82 unit komputer riba, 20 baharu dan 62 terpakai dan 10 unit tab,” ujar beliau ketika berucap pada acara ringkas tersebut, 14 Mac 2021.

Di samping itu, beliau berharap semua penerima berkenaan gigih belajar sebagai membalas jasa penyumbang serta syarikat-syarikat yang terlibat dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, Tze Tzin sebelum pada itu turut mengambil kesempatan mengagihkan 150 kuntum bunga carnation dan kit cegah COVID-19 di Kompleks Makanan Awam Bayan Baru sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut pada tanggal 8 Mac.

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan komputer riba, NURUL SHAFINAZ AZRI, pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara yang ditemui kemudian menzahirkan rasa syukur atas penerimaan komputer riba tersebut.

“Subjek seperti Matematik Tambahan, Fizik amat memerlukan komputer riba, apabila kakak pergi ke Kolej Matrikulasi, saya tidak ada kemudahan,” maklumnya.

Bagi M.SHARWIN, pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Phor Tay pula, memberitahu bahawa beliau sebelum ini pernah meminjam telefon pintar daripada gurunya untuk menyempurnakan kerja sekolah semasa pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Lebih memeritkan ayah saya hilang pekerjaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebab dia bekerja sebagai pemandu pelancong.

“Saya juga terpaksa berkongsi capaian internet WiFi dari (rumah) jiran,” jelasnya yang bercita-cita menjadi Inspektor Polis.

Seorang lagi penerima, ATIKAH MD. YUNUS memberitahu Buletin Mutiara bahawa beliau berharap komputer riba yang diterima akan membantu meningkatkan prestasi pembelajaran anaknya.

“Anak saya bersekolah di Sekolah Menengah Agama Al Itqan, sebelum ini bagi dia pinjam telefon lama saya saja.

“Saya bersyukurlah permohonan pun senang, kawan bagi pautan permohonan tidak sangka pula dapat,” ujarnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS