Penginapan homestay di bangunan berstrata perlu persetujuan 75 peratus pemilik unit

Admin

SUNGAI PINANG – Penginapan jangka pendek (STA) atau homestay di semua skim berstrata negeri ini perlu mendapat kelulusan Perbadanan Pengurusan (MC) atau Badan Pengurusan Bersama (JMB).

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, 75 peratus pemilik unit bangunan berstrata perlu memberikan persetujuan di mana kata putus tersebut perlu dicapai di dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mewajibkan pengoperasian penginapan jangka pendek di bangunan berstrata di Pulau Pinang melalui Undang-undang Kecil oleh JMB atau MC di bawah Seksyen 70(2) Akta Pengurusan Strata 2013 (SMA 2013).

 

“Untuk itu, Kerajaan Negeri telah menghantar surat makluman kepada 1,621 JMB/MC mulai 4 Januari 2021 yang lalu bagi memastikan operasi STA mendapat kebenaran (pengurusan) masing-masing terlebih dahulu.

 

“Objektif utama penguatkuasaan undang-undang tersebut adalah bertujuan untuk menangani isu berkaitan dengan penginapan jangka pendek di kawasan bangunan berstrata.

 

“Ia juga merupakan pemudah cara serta pengantara di antara pemilik dengan penyewa jika timbul sebarang permasalahan,” ujar beliau dalam satu sidang media di pekarangan Kondominium The Ocean View, Sungai Pinang pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Norodin dan Pengarah Pesuruhjaya Bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Sr. Nik Ariff Long Dir.

 

Mengambil kira situasi semasa, jelas Jagdeep, undang-undang tersebut dilihat lebih perlu terutamanya dalam mengawal pandemik COVID-19 di negeri ini.

 

 

“Di kala pendemik melanda, perebakan lebih mudah berlaku sekiranya perkara seperti ini tidak dikawal apabila orang luar dibenarkan keluar masuk ke kawasan perumahan.

 

“Kita di Pulau Pinang sudah gubal undang-undang tambahan, ia sememangnya dibenarkan, tetapi kuasa diberikan kepada MC/JMB untuk memutuskan sama ada STA dibenarkan ataupun tidak,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

Nik Ariff dalam pada itu memberitahu bahawa mana-mana pemilik yang ingkar tentang persetujuan yang dicapai berhubung STA di kediaman berstrata masing-masing boleh dikenakan kompaun sehingga RM200 oleh MC/JMB.

 

“Sekiranya masih berdegil, MC/JMB boleh failkan kepada Tribunal Pengurusan Strata untuk dibawa ke mahkamah, yang penting perlu lulus dalam AGM/EGM terlebih dahulu, jika tidak ia memang jadi kesalahan,” maklum beliau sambil memberitahu bahawa pihaknya sudah menerima 271 jawapan maklum balas setakat ini dengan 261 skim tidak membenarkan pelaksanaan STA di kawasan pengurusan masing-masing, manakala 10 skim membenarkannya.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI