Agilent rancang bina kilang baru, 50 tahun di P. Pinang dihargai

Gambar : SHUM JIAN-WEI

BAYAN LEPAS – Agilent Technologies (Agilent) mengumumkan rancangan jangka masa panjang untuk membina fasiliti kilang pembuatan baru di negeri ini demi menampung pertubuhan sains hayat serta perniagaan aksesori perubatan ia.

Berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Agilent, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merakamkan penghargaan atas hasrat yang diluahkan oleh Presiden Agilent Technologies, Chai Meng Fee yang terus setia menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka.

“Sumbangan Agilent untuk ekonomi Pulau Pinang mesti dipuji dan keberadaan syarikat itu sekaligus membuktikan sains hayat boleh
berjaya menjana keuntungan lumayan serta menarik minta lebih ramai generasi muda Malaysia dan Pulau Pinang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, Pulau Pinang merupakan negeri perindustrian pertama di Malaysia, dengan kedua-dua sektor perkhidmatan dan pembuatan menyumbang kira-kira 95 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2014, iaitu sebanyak RM67 bilion.

Justeru, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian pada sektor pembuatan yang menyumbang kira-kira 60 peratus pada KDNK Pulau Pinang.

Tambahnya, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) pula mendedahkan pelaburan ke negeri ini meningkat sebanyak 109 peratus menjadi RM8.2 bilion pada tahun 2014, berbanding 3.9 bilion pada tahun sebelumnya.

“Ini membuktikan pelaburan langsung asing (FDI) telah didorong oleh daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan,” ujar Guan Eng.

Itu, tambahnya, tidak termasuk surplas atau lebihan kewangan yang berjaya direkodkan dalam kewangan negeri pada tiap-tiap tahun sejak 2008.

Difahamkan, lebihan kewangan Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 hingga 2013 adalah sejumlah RM453 juta, dengan rekod terbesar dalam sejarah Pulau Pinang yang dicapai sebanyak RM138.31 juta pada tahun 2011 sahaja.

Dalam tempoh 2008 hingga 2013 juga, lebihan bajet terkumpul negeri yang berjumlah RM453 juta itu melebihi surplas negeri selama 50 tahun dahulu sejak 2007, iaitu sebanyak RM373.6 juta sahaja.

“Kita akan meneruskan lagi rancangan Kerajaan Negeri untuk generasi masa depan, terutamanya membina projek berkembar (iaitu) membina perumahan mampu milik serta menangani masalah pengangkutan.

“Sebanyak RM500 juta diperuntukan di bawah Tabung Perumahan Awam Rakyat Pulau Pinang dan Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang merangkumi tanah dan rangkaian laut yang dianggarkan memerlukan dana RM27 bilion, termasuk membina sistem MRT (transit laju massa) demi menghubungkan kawasan pulau dan tanah besar (Seberang Perai) di negeri ini,” jelas beliau.

Sebelum itu, Meng Fee memberitahu bahawa, rancangan membina kilang baru di Pulau Pinang turut dijadikan sebagai hub instrumen dan peralatan perubatan khusus untuk mengesan tisu kanser pada masa hadapan.

“Kerajaan Negeri pun ada mencadangkan suatu tapak baru yang berpotensi di Batu Kawan untuk fasiliti pengeluaran baru ini, dan kami sendiri akan mengoptimumkan proses pembuatan itu nanti sebagai penyelesaian jangka pendek.

“Kami berminat untuk mengambil lebih ramai ahli kimia dan biologi, selain jurutera, yang kini bilangan pekerja kami di Pulau Pinang kira-kira 530 orang.

“Industri berasaskan sains hayat dengan reka bentuk peralatan kimia dan pembuatan kian berjaya sejak lima tahun lepas dan produk yang dihasilkan di sini (Pulau Pinang) nampaknya telah memberi impak global sejak masa itu lagi,” kata Meng Fee.