Agong zahir rasa kagum terhadap keharmonian, perpaduan serta pembangunan dinikmati rakyat Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Diraja bersama-sama rakyat berbilang kaum dekat The Top, Komtar.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada jam 9 malam diiringi oleh Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff.

Baginda Permaisuri Agong turut berkenan menghadiri majlis santapan malam Diraja bersama-sama rakyat berbilang kaum.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee; barisan Exco Kerajaan Negeri; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Only World Group Holdings Berhad, Tan Sri Richard Koh dan isteri Puan Sri Jean Koh serta dif-dif kenamaan yang lain.

Yang di-Pertuan Agong semasa berucap menzahirkan rasa kagum terhadap kemajuan pembangunan yang dinikmati oleh kebanyakan rakyat di negeri ini.

Baginda bertitah, di Pulau Pinang terdapat pelbagai faktor yang mampu menarik kehadiran pelancong terutamanya daripada segi peningkatan kemajuan ekonomi, keindahan alam semula jadi dan makanan yang lazat.

Persembahan tarian daripada artis kebudayaan negeri menambahkan seri majlis.

“Pulau Pinang sentiasa dekat di hati saya kerana ada tarikan unik iaitu rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama hidup dalam keadaan harmoni serta bersatu-padu. Banyak perkara yang kita boleh dipelajari daripada masyarakat setempat di negeri ini.

“Banyak juga pembangunan telah ditingkatkan yang menunjukkan bahawa berlakunya peningkatan daripada segi ekonomi di Pulau Pinang.

“Justeru, adalah diharapkan agar masyarakat di negeri ini terus kekal bersatu-padu dan tidak melakukan perkara sebaliknya kerana Pulau Pinang sudahpun dikenali di mata dunia,” titah baginda.

Pelawak terkenal tanah air, Harith Iskandar menggamit gelak tawa tetamu yang hadir.

Sementara itu, Kon Yeow yang turut berucap sebelum itu memberitahu bahawa perpaduan kaum di negeri ini sentiasa dipertingkatkan melalui pelbagai program dan aktiviti merangkumi semua bidang seperti sosial, rekreasi, pendidikan, sukan, kebudayaan, kesihatan, ekonomi serta agama.

“Kerajaan Negeri juga mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan pelbagai aktiviti ke arah menyatupadukan rakyat termasuk peranan dimainkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan program-program bercorak perpaduan dengan lebih proaktif,” jelasnya.

Tambah beliau, kerjasama dan sokongan rakyat serta penglibatan semua pihak sangat diperlukan untuk memastikan Pulau Pinang terus makmur dan sejahtera serta dihormati di persada antarabangsa.

“Semua pandangan dan maklum balas masyarakat diambil kira untuk memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dalam kehidupan menjadi milik keseluruhan rakyat,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD